SUAMI isteri yang ditahan. FOTO Omar Osman
SUAMI isteri yang ditahan. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Pasangan suami isteri yang dicekup bersama 120 kilogram dadah ganja oleh Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Dalilah Ismail selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan perkara itu dan memberitahu suspek direman bermula hari ini hingga 10 Februari ini.

Pasangan berusia 37 tahun itu ditahan bersama 120 kilogram dadah ganja berhampiran Plaza Tol Sungai Petani Utara petang semalam.

Dalam serbuan jam 6.15 petang itu, suspek berusia 37 tahun menaiki kereta Toyota Vios ditahan STING selepas menerima maklumat berhubung kegiatan mereka.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui sejumlah ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja yang disembuyikan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitternya turut mengucapkan syabas atas kejayaan STING itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 7:12 PM