GANJA  bernilai RM618,000 yang dirampas di Kajang dan Klang.
GANJA bernilai RM618,000 yang dirampas di Kajang dan Klang.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Satu sindiket pengedaran dan penyeludupan ganja yang didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 6.40 pagi hingga jam 10 malam, tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 47 tahun berjaya ditahan bersama ganja yang dianggarkan bernilai RM618,000.

Semua suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan di Taman TTDI Groove dan Taman Sentosa Villa, Kajang serta sebuah rumah di Kampung Sungai Udang, Klang.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua yang ditahan ini dikenal pasti saki-baki kumpulan pengedar yang berjaya ditumpaskan polis pada Mac tahun lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menemui 206 kilogram ketulan mampat dipercayai ganja yang disimpan di dalam rumah dan kereta di dua daripada tiga lokasi yang diserbu.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000 dan tiga kenderaan jenis Audi Q7, Proton Saga FL dan Van Era Commuter yang dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah mereka.

“Suspek yang ditahan ini adalah saki-baki ahli kumpulan pengedaran ganja yang pernah ditumpaskan polis pada Mac 2016 di Sungai Petani, Kedah membabitkan rampasan lebih satu tan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurut beliau, pihaknya percaya semua dadah ini dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan mengikut kepada kajian ia boleh digunakan 400,000 penagih.

Beliau berkata, semua suspek direman selama enam hari sehingga 13 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Mokhtar menegaskan JSJN dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) akan terus memerangi dan memburu sindiket yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.

Katanya, dadah jenis ganja dikenal pasti antara dadah yang sering digunakan dan popular dalam kalangan penagih di negara ini.

“Ini berikutan peningkatan jumlah rampasan dadah jenis ganja sejak tiga tahun lalu. Mengikut rekod polis, kita merampas 1.7 tan ganja pada 2015 manakala pada 2016 sebanyak 1.9 tan.

“Setakat 7 Jun tahun ini pula, polis merampas 783 kilogram daun ganja,” katanya.

Menurutnya, ini menunjukkan peningkatan kejayaan polis yang sentiasa memantau dan serius memburu sindiket yang melakukan kegiatan pengedaran serta penyeludupan di negara ini dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:28 AM