Haikal hanya mampu terbaring berikutan kecacatan lumpuh otak yang dialaminya. FOTO Azmi Jaafar
Haikal hanya mampu terbaring berikutan kecacatan lumpuh otak yang dialaminya. FOTO Azmi Jaafar
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Saya nak sangat tengok dia dapat bersekolah macam remaja normal lain tapi nak buat macam mana, sampai sekarang ini, dia masih tak mampu buat apa-apa selain hanya terlantar.

"Saya tidak henti berdoa supaya dia kembali sihat dan pulih. Biarpun apa yang akan terjadi, saya tidak akan putus asa dan akan menjaganya hingga akhir hayatnya.”

Demikian luahan Azmi Jaafar, 55, yang tabah memelihara anak bongsunya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kira-kira 12 tahun lalu.

Gambar anak bongsunya menjadi tular di laman sosial sehingga menyentuh hati netizen, semalam.

Menurutnya yang juga tukang cuci di Sekolah Rendah Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, dia mempunyai empat anak berusia 32 hingga 13 tahun dan seorang daripada mereka, Haikal Azmi, 13, menghidap kelumpuhan otak atau Cerebral Palsy (CP) sejak usianya setahun.

"Ketika dilahirkan dia normal seperti bayi lain tetapi ketika usianya setahun dia diserang demam panas sehingga menyebabkannya terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya.

"Selepas tempoh itu, anak bongsu saya disahkan oleh doktor lumpuh sebelah badan dan menghidap CP. Ketika itu saya juga dimaklumkan pihak hospital, Haikal tidak akan pulih sampai bila-bila. Luluh jantung saya ketika itu, hanya Allah SWT saja yang tahu apa yang saya rasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Azmi berkata, selepas anaknya dibawa pulang ke rumah, dia mendapatkan rawatan lanjut ke hospital berhampiran menaiki motosikal kerana tiada lesen kereta.

"Kini Haikal semakin dewasa dan saya juga tidak membawanya ke hospital lagi sejak dua tahun lalu kerana selain masalah pengangkutan, dia juga susah naik motosikal sebab kakinya membengkok. Nasib baik dia tidak diserang demam berpanjangan, kalau ada pun, dua tiga hari demam itu sudah baik," katanya.

Menurutnya, pendapatannya juga sebagai tukang cuci hanya RM900 sebulan dan tidak mampu menanggung kos rawatan yang dianggarkan mencecah lebih RM1,000 sebulan.

"Sejak dua tahun lalu, saya tidak menghantarnya berjumpa doktor . Saya juga pakaikan lampin pakai buang dan Haikal juga mampu makan seperti biasa. Cuma, makan makanan yang dikisar saja.

"Anak saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 dan bantuan zakat RM300. Bantuan itu saya gunakan untuk keperluan hariannya," katanya.

Katanya lagi, sehingga kini dia berharap anak bongsunya itu kembali sihat serta dapat bersekolah seperti remaja normal lain.

"Haikal sangat manja dengan saya, malangnya dia hanya mampu terlantar saja. Kasihan saya melihat keadaannya begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 8:46 PM