LOVREN (kanan) ketika menerima arahan daripada Dalic. FOTO/AFP
LOVREN (kanan) ketika menerima arahan daripada Dalic. FOTO/AFP
AFP

SOCHI, Russia: Pertahanan Croatia, Dejan Lovren berkata suka duka karier antarabangsanya sebelum ini sudah menjadi sejarah dan dia kini membuka babak baharu menjelang aksi suku akhir Piala Dunia bertemu tuan rumah Russia, esok.

Lovren dijangka memulakan perlawanan di sini selepas kembali dipanggil mewakili negaranya sejak pelantikan Zlatko Dalic Oktober lalu.

Dia sering terpinggir sejak tiga tahun lalu ketika Croatia dikendali Niko Kovac dan kemudiannya Ante Cacic, di mana namanya langsung tidak tersenarai dalam skuad ke Euro 2016 di Perancis.

Cacic berkata dia menggugurkan Lovren daripada Kejuaraan Eropah itu kerana dia berasakan bekas pemain Southampton itu mementingkan diri sendiri serta memandang rendah kepada rakan sepasukan termasuk barisan jurulatih.

“Ia seperti rollercoaster, banyak turun dan naik,” kata bek tengah Liverpool yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-29 semalam.

“Saya yang paling sedih apabila terlepas Euro 2016, tetapi saya harap dapat menebusnya pada beberapa baki perlawanan dan saya tidak sabar untuk menghadapinya.”

Dalic hadir di penghujung kempen kelayakan Piala Dunia Croatia dan membawa mereka ke Russia selepas mengatasi Greece dalam play-off.

Croatia terus mara hingga ke kelompok lapan terakhir selepas mengatasi Denmark dalam penentuan penalti, susulan persembahan cemerlang di peringkat kumpulan termasuk kemenangan 3-0 ke atas Argentina.

Ini adalah suku akhir Piala Dunia pertama Croatia sejak tahun 1998, di mana mereka menewaskan Jerman 3-0 sebelum tersingkir di separuh akhir dengan kekalahan 2-1 kepada tuan rumah, Perancis.

“Kami menghormati generasi ‘98. Mereka adalah skuad Croatia yang paling berjaya setakat ini, dan mereka menetapkan tahap yang cukup tinggi di mana dalam tempoh 20 tahun belum ada pasukan mampu mengatasinya.

“Bagaimanapun, skuad sekarang amat bagus dan kami mempunyai peluang untuk mengatasi generasi itu,” kata Lovren.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 3:29 AM