EYRA. FOTO Mahzir Mat Isa
EYRA. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

Walaupun pernah terkilan apabila bakat lakonannya tidak dipandang, itu tidak membuatkan Eyra Hazali berputus asa.

Eyra, 19, tekad kumpulkan semangat dan yakin dia perlu bangkit meneruskan perjuangannya tanpa ambil peduli dengan apa saja tanggapan terutama yang berbaur negatif.

Bertemu pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali pada sesi fotografi diatur bersamanya baru-baru ini, gadis berbakat besar itu mengakui pelbagai onak liku sudah ditempuhinya.

“Saya mula berlakon drama sejak berusia enam tahun. Apabila dihitung, sudah 13 tahun saya aktif ketengahkan bakat lakonan tetapi baru sekarang mula mendapat perhatian,” katanya.

Eyra kini muncul membintangi drama adaptasi novel Mr Grey arahan Riza Baharudin

yang meledakkan nama dan bakat lakonannya sekelip mata.

Gandingannya dengan pelakon baru, Fendy Bakry, 30, sebagai Mr Grey dalam drama itu menyerlahkan keserasian mereka walaupun Eyra masih remaja.

Turut berlakon dalam drama itu termasuk Fauziah Ahmad Daud, Gambit Saifullah, Lisdawati, Shah Iskandar, Mardiana Alwi dan Kayda Roslan.

Eyra yang menampilkan lakonan bersahaja dengan lontaran dialog dalam loghat utara mengakui sentiasa memperbaiki mutu lakonannya dengan melihat persembahan pelakon lain.

Anak kelima daripada tujuh beradik ini juga tidak memilih watak.

“Baru sekarang bakat lakonan saya mula mendapat perhatian kerana ia rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT di atas segala usaha saya selama lebih sedekad ini.

“Apatah lagi, saya tidak cerewet memilih watak walaupun asyik diberi watak pelakon pembantu. Bagi saya, paling penting ialah kepuasan dalam lakonan.

“Saya berlakon kerana minat dan bakat ini sebenarnya diwarisi daripada ibu bapa yang berdarah seni. Jadi, saya sangat mensyukurinya.

“Sebagai pelakon, apa saja watak diberikan itu ada kekuatan tersendiri. Jadi, adalah tanggungjawab saya untuk menzahirkannya sebaik mungkin,” katanya yang pernah meraih anugerah Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-kanak Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2010 menerusi telefilem Anak Anak Lorong ketika berusia 11 tahun.

EYRA. FOTO Mahzir Mat Isa
EYRA. FOTO Mahzir Mat Isa

Tak peduli apa orang kata

Pernah dianggap tidak tahu berlakon, namun Eyra tidak cepat melatah.

Katanya, dia lebih selesa membiarkannya saja.

“Apa yang orang nak cakap dan anggap mengenai lakonan saya, terpulang kepada mereka. Itu hak masing-masing dan saya pula teruskan saja usaha.

“Alhamdulilah, tanpa sebarang gosip, cerita sensasi dan kontroversi, saya akhirnya mampu dikenali dengan bakat walaupun tempohnya agak panjang,” katanya.

Eyra berkata, dia terselamat daripada segala anasir kurang baik itu kerana ibunya, Qhuzie Mohd Johari bertindak sebagai pengurus dan sentiasa bersama pada setiap masa.

Mahu ikut jejak bapa

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah juga dengan bakat seni Eyra.

Minat dalam lakonan wujud kerana bapanya, Hazali Ramli seorang pengarah drama.

Antara drama pernah diarahkan Hazali ialah Black Widow, Usia, Dia Atilia dan terbaru Sape Dari Italy sebanyak 26 episod yang ditayangkan di RTM.

Berbicara mengenai bapanya, Eyra berkata, impian sebenarnya dalam industri seni ialah menjadi pengarah seperti bapanya.

“Cita-cita saya mahu menjadi pengarah drama yang kreatif. Ini kerana saya melihat industri seni tanah air terutama dalam pengarahan drama memerlukan perubahan.

“Saya yakin penonton juga semestinya inginkan perubahan berlaku dengan idea lebih baru, terkini dan segar dalam penghasilan drama berkualiti untuk ditonton,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cita-citanya, Eyra berkata, dia juga meletak sasaran untuk bergelar pengarah drama sebelum berusia 25 tahun.

“Atas sebab itu, kini saya gigih menimba pengalaman berlakon. Ayah adalah idola saya dan berada pada tahap sekarang pun bukan perkara mudah. Namun, saya tetap berpegang pada prinsip ikhlas dalam apa saja dilakukan,” katanya.

Pernah juga melakonkan banyak watak jahat, Eyra berkata, dia sangat meminati filem dan drama aksi yang baginya sangat mencabar memandangkan dia juga seorang yang lasak.

Mengharapkan peluang semoga mendapat kepercayaan berlakon dalam filem atau drama aksi, Eyra akan muncul dengan dua filem iaitu Wasitah dan Ratu Kala Jengking yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 3:18 AM