GAMBIT
GAMBIT
Michelle Gun


Selepas berehat seketika daripada dunia lakonan, Gambit Saifullah kembali beraksi di layar perak menerusi beberapa karya baru akan datang seperti filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng yang akan menemui penonton pada 24 November ini.

Menurut Gambit, sepanjang tempoh tidak berlakon, dia aktif melakukan kerja di belakang tadbir dan menghasilkan program travelog.

Bersyukur bakatnya masih dicari walaupun ‘hilang’ seketika, pelakon berusia 31 tahun itu mengakui menyesal kerana pernah menolak beberapa tawaran berlakon.

“Pada 2010, saya menolak banyak tawaran dan apabila memikirkan kembali perkara itu, saya berasa agak menyesal. Mungkin pada ketika itu saya belum matang dan membuat keputusan terburu-buru tanpa berfikir panjang. Saya pentingkan diri dan menghampakan pihak stesen televisyen serta produksi,” katanya.

Namun, pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini mengakui memilih watak kerana mengutamakan karya yang dapat mendidik penonton.

“Dalam soal karakter, saya memang cerewet kerana mahukan yang boleh meninggalkan kesan positif kepada penonton,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bercerita pengalaman berlakon dalam Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng, Gambit mengakui berdepan kesukaran menjiwai watak berikutan sudah lama tidak beraksi depan kamera.

“Tempoh sekitar dua tahun berehat dari dunia lakonan membuatkan saya berasa kecil dengan kehadiran pelakon lain. Tambahan pula, saya sedar melakukan beberapa kelemahan. Bagaimanapun, saya bersyukur bakat masih dihargai dan peluang ini membolehkan saya kembali aktif dalam dunia seni tanah air,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru karier seninya, Gambit baru selesai penggambaran drama bersiri Isteri Tuan Ihsan dan bakal muncul dalam telefilem Aku dan Dia.

“Tidak dinafikan tindakan berehat daripada bidang lakonan menyebabkan saya sukar membawa watak. Oleh sebab itu, buat masa sekarang, saya mahu memberi tumpuan kepada lakonan drama dan filem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 10:02 AM