NAZIPAH (tengah) bersama pegawai FAMA menunjukkan produk tempatan Sabah pada Bengkel Fasilitasi Pengeksportan dan Penerokaan Pasaran Produk Sabah dan Sarawak ke Negara Timur Jauh.
NAZIPAH (tengah) bersama pegawai FAMA menunjukkan produk tempatan Sabah pada Bengkel Fasilitasi Pengeksportan dan Penerokaan Pasaran Produk Sabah dan Sarawak ke Negara Timur Jauh.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Penyusutan nilai ringgit membuka peluang yang lebih baik kepada usahawan dan petani tempatan untuk meningkatkan eksport makanan ke negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang menjualnya pada harga lebih tinggi.

Pengarah Kanan Bahagian Pasaran Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaludin berkata, ia sekali gus menguntungkan usahawan terbabit khususnya dari segi kadar atau tukaran mata wang.

“FAMA sudah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan lagi peluang eksport kepada usahawan dan petani tempatan khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai potensi lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Ia kerana masih banyak produk di kedua-dua negeri itu yang boleh dibangunkan dan mendapat sambutan baik di luar negara,” katanya selepas menghadiri Bengkel Fasilitasi Pengeksportan dan Penerokaan Pasaran Produk Sabah dan Sarawak ke Negara Timur Jauh di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, produk dari Sabah yang berpotensi dieksport termasuk limau bali, pisang, avokado, nanas, keropok amplang (diperbuat daripada ikan atau udang) serta kuih cincin.

Menurutnya, antara produk berpotensi dari Sarawak pula ialah tebaloi (kerepek sagu), lada putih dan serbuknya, sesar unjur (udang kering Sarawak), kek lapis serta rambutan.

Katanya, bengkel itu bertujuan memberi pendedahan kepada kakitangan FAMA dan agensi berkaitan mengenai produk dari Sabah dan Sarawak yang berpotensi dikomersialkan di pasaran eksport terutama ke negara Timur Jauh seperti China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

“Selain berkongsi aspek prosedur pengeksportan produk segar dan proses khusus ke negara berkenaan, peserta turut diberikan maklumat lain bagi membantu mereka meneroka pasaran eksport secara lebih meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:04 AM