BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang bekas pemandu van sekolah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi kesalahan mencabul kehormatan murid perempuan.

Tertuduh, S Sabapathi, 44, didapati bersalah terhadap pertuduhan mencabul murid 12 tahun itu dalam van sekolah di depan sebuah sekolah di sini pada 6.45 pagi, 26 Julai 2010.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau antara dua hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menaikkan jaminan tertuduh daripada RM3,000 kepada RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Balai Polis Petaling Jaya dua kali sebulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan maksimum dan sebat mengambil kira kesalahan adalah jenayah seksual.

"Mangsa mengalami trauma teruk selepas kejadian. Sebelum ini mangsa bersifat kewanitaan namun berubah dengan memotong pendek rambutnya seperti lelaki selepas dicabul tertuduh," katanya.

Raj Preet memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih belajar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 8:23 PM