SELAIN sambal, Siti Zubaidah turut menjual biskut seperti tart nenas.
SELAIN sambal, Siti Zubaidah turut menjual biskut seperti tart nenas.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Orangnya kecil, tapi jiwanya cukup besar. Baginya menjadi suri rumah tidak bermakna perlu duduk di rumah dan hanya menguruskan keperluan rumah tangga.

Sebaliknya, wanita ini tidak mensia-siakan waktu terluang untuk mencuba resipi ciptaan sendiri selain menghadiri kursus dan seminar keusahawanan serta motivasi.

Siti Zubaidah Abd Rani, 31, berkata, minatnya dalam dunia perniagaan sejak bujang mendorongnya membabitkan diri dalam pembuatan makanan apatah lagi memasak memang ‘kehandalannya’.

Meskipun menjaga lima cahaya mata, Siti Zubaidah bijak menguruskan masa selepas dia nekad menghasilkan resipi warisan iaitu sambal yang diolah secara moden pada 2014.

Katanya, pada awalnya perniagaan sambal dibuat secara suka-suka, namun saban hari dia menerima tempahan rakan dan saudara-mara.

Sejak itu permintaan terhadap sambal resipinya semakin meningkat dan mendorongnya untuk memasarkan produk itu secara meluas pada awal 2016 di bawah jenama Sambal Letop IZ.

“Idea untuk memproses sambal ini tercetus apabila saya melihat peluang yang sangat luas dalam industri makanan. Rata-rata pelanggan saya yang bertugas di luar negara sering meluahkan kerinduan dan kesukaran mendapatkan makanan tempatan di sana.

“Saya juga didorong rancangan Travellers di kaca TV yang memaparkan antara faktor pelancong datang ke Malaysia adalah kerana keunikan makanan Asia dan Malaysia khususnya. Dari situ saya mula berfikir mengapa tidak kita yang membawa produk Malaysia kepada mereka,” katanya.

Boleh dijadikan pes

Sambal Letop IZ adalah produk berkonsepkan ‘satu untuk semua’ kerana boleh dimakan bersama semua makanan asasi seperti nasi, mi, roti dan gandum.

Meskipun produk ini boleh terus dimakan, ia juga boleh dijadikan pes masakan, sos pencecah dan inti sandwich, kuih burger Malaysia, pau, roti gulung bersalut telur dan pelbagai lagi.

Produk ini kini sudah berada di dapur rumah di luar negara seperti Kanada, Mesir, China, Australia dan Turki. Siapa sangka produk yang dihasilkan dari dapur rumah boleh terbang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut Siti Zubaidah, dia amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan akan memastikan produk yang dihasilkan bersesuaian dengan kehendak mereka.

Sebab itu syarikatnya akan membuat kaji selidik awal dalam mengenal pasti cita rasa, budaya dan masyarakat sesebuah negara. Sebagai contoh masyarakat Malaysia begitu sinonim dengan sambal belacan, maka, sambal kurma bilis dicipta khas untuk umat Islam secara amnya dan pasaran negara Arab.

Manakala sambal gesek yang juga resipi tradisional ibunya diolah semula agar lebih sesuai untuk dipasarkan dan tahan lebih lama. IZ kini memiliki lebih 20 jenis sambal, tetapi buat masa ini dia hanya fokus kepada tiga jenis sambal.

“Saya bersyukur kerana dianugerahkan suami dan anak-anak serta ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk terus berusaha mencapai matlamat dan kejayaan yang diimpikan.

“Buat masa ini produk sambal letop IZ masih kekal dengan harga asal iaitu RM15 sebotol. Meskipun harga bahan mentah meningkat, saya komited dalam memastikan produk sambal letop IZ boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Antara bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan sambal letop IZ adalah ikan bilis, bawang dan cili,” katanya.

Memahami isu ekonomi yang tidak menentu, Siti Zubaidah membuka peluang kepada orang ramai khususnya dalam kalangan suri rumah dan usahawan yang berminat untuk menjadi ejen dengan modal serendah RM110.

Manakala stokis diberi kebenaran untuk melantik ejen dan memasarkan semua produk IZ ke pasar raya dan kedai yang difikirkan sesuai sama ada dalam mahu pun di luar negara.

Produk sambal letop IZ kini boleh dibeli di kedai dan stesen minyak terpilih di sekitar Petaling Jaya, Ampang, Kajang, Shah Alam dan Klang atau menerusi ejen dan stokis yang dilantik berhampiran kawasan mereka.

“Kejayaan sememangnya indah, tetapi untuk mencapainya sejuta cabaran perlu ditempuh. Saya memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM200 sahaja.

“Saya berjaga hampir setiap malam. Ketika semua orang lena dibuai mimpi, saya pula sibuk bekerja sehingga Subuh dan terus menyambung tugas saya sebagai isteri dan ibu. Anak saya masih kecil berumur lapan tahun hingga enam bulan.

“Namun, ini bukan alasan untuk tidak berusaha kerana untuk berjaya saya perlu bijak mengatur masa. Saya tahan telinga mendengar sindiran, tohmahan dan ada yang berkata bahawa suri rumah seperti saya tidak boleh berjaya. Namun saya yakin dengan janji Allah, siapa berusaha dia pasti dapat,” katanya.

Menurutnya, air mata adalah teman setia untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dia juga begitu. Ada hari dia menangis sedih, ada kala dia mengalirkan air mata syukur dan gembira.

Siti Zubaidah menyimpan impian untuk melihat Sambal Letop IZ dapat membantu lebih ramai suri rumah menjana pendapatan sampingan dan memperkenalkannya kepada penduduk dunia.

“Saya sentiasa berfikiran terbuka terhadap cadangan dan pandangan yang membina. Justeru itu IZ menyediakan satu ruangan untuk pelanggan dan peminat sambal ini meluahkan buah fikiran mereka menerusi media sosial kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:02 AM