SAMSINA menunjukkan produk keluaran Ihsas, Sambal Serai Ikan Bilis di Cahaya SPK, Seksyen U9, Shah Alam.
SAMSINA menunjukkan produk keluaran Ihsas, Sambal Serai Ikan Bilis di Cahaya SPK, Seksyen U9, Shah Alam.
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Ihsas Global Enterprise optimis untuk memasarkan produk keluarannya di beberapa pasar raya besar termasuk Tesco, Giant dan Mydin menjelang tahun depan.

Pengasasnya, Samsina Abdul Samad berkata, bagi tahun ini pihaknya memberi tumpuan untuk meluaskan pasaran Sambal Serai Ikan Bilis Ihsas melalui jualan di kedai runcit, platform dalam talian dan menerusi ejen.

Katanya, setakat ini, Sambal Serai Ikan Bilis Ihsas boleh didapati di rangkaian Malakat Mall, stesen minyak dan laman web cmasa.my.

"Sambal Serai Ikan Bilis Ihsas mula berada di pasaran pada Mei tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pengeluaran pertama kira-kira 1,000 unit.

"Sambutan diterima begitu menggalakkan dan kami menyasarkan jualan 12,000 unit pada tahun ini.

"Selain Sambal Serai Ikan Bilis Ihsas, kami akan memperkenalkan produk baharu sambal serai ayam, daging dan ikan masin," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, produk keluaran Ihsas tahan lama, jenis sambal kering, mudah disediakan dan rangup.

Samsina berkata, sambal yang dihasilkan melalui resipi keluarganya itu bukan sahaja enak, malah boleh dimakan kanak-kanak.

"Di bawah jenama Ihsas Food, kami akan pelbagaikan lagi barisan produk terutama bagi memudahkan wanita bekerjaya.

"Kami juga ada menerima permintaan dari Singapura dan United Kingdom," katanya yang menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara menjelang 2022.

Beliau berkata, Sambal Serai Ikan Bilis Ihsas dijual pada harga RM16 bagi 150 gram dan pihaknya turut membuka peluang menjadi ejen Ihsas Food dengan modal serendah RM336.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:01 AM