Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Kerajaan akan mempertimbangkan konsep bayaran denda berperingkat seperti dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap mereka yang kehilangan pasport atas faktor kecuaian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagaimanapun, pihaknya masih berbincang dengan Jabatan Imigresen dan akan diputuskan kelak.

"Kita masih lagi berbincang dengan Jabatan Imigresen kerana isu kehilangan pasport ini memang dipandang berat oleh kerajaan.

"Pembayaran denda berperingkat seperti dilakukan JPN terhadap mereka yang kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) mungkin boleh diguna pakai.

"Tindakan ini antara lain dapat mengelakkan berlakunya kes penjualan pasport memandangkan pasport Malaysia ini antara yang popular dan boleh digunakan di mana-mana negara," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kelab Akhbar Cina sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Katanya, rakyat negara ini yang kehilangan MyKad untuk pertama kali didenda sebanyak RM100 oleh JPN, diikuti bagi kesalahan kali kedua (RM300) dan RM1,000 untuk kesalahan ketiga dan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 3:39 PM