Noorazura Abdul Rahman


Yan: "Syukur Alhamdulillah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mudahkan urusan memohon MyKad baharu selepas semua dokumen kami rosak akibat rumah dilanda banjir lumpur," kata Che Halim Ibrahim, 66.

Che Halim yang tinggal di Kampung Telok Mat Acheh, di sini, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan dokumen penting itu berikutan banjir lumpur masuk ke dalam rumahnya terlalu cepat.

Katanya, semua dokumen penting yang disimpan di laci bawah almarinya rosak dan dia tidak sempat membuat penukaran di pejabat JPN daerah kerana masih perlu membersihkan rumah.

"Mujur JPN menganjurkan Program Mekar Prihatin bersama mangsa banjir, saya tidak lagi perlu melalui proses janji temu di pejabat JPN, hanya datang bawa Mykad lama dan tukar yang baharu di kenderaan bergerak JPN.

"Malah anak sulung yang baharu melahirkan anak keduanya 13 hari lalu, turut datang mendaftar Sijil Kelahiran hari ini dan prosesnya sangat mudah," katanya ketika ditemui pada program yang diadakan di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan, hari ini.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, bencana kepala air dan banjir lumpur Gunung Jerai melanda beberapa perkampungan di Yan, Gurun dan Merbok sehingga menjejaskan lebih 1,000 rumah penduduk dan turut mengorbankan enam mangsa.

Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membantu sebahagian mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai membuat dokumen pengenalan diri pada Program Mekar JPN Bersama Mangsa Banjir di perkarangan Masjid Jamek Badlishah, Yan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membantu sebahagian mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai membuat dokumen pengenalan diri pada Program Mekar JPN Bersama Mangsa Banjir di perkarangan Masjid Jamek Badlishah, Yan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Datuk Saadon Othman berkata, Program Mekar Prihatin bersama JPN diadakan selama tiga hari di Yan bagi memudahkan penduduk menggantikan dokumen pengenalan diri yang rosak atau hilang dihanyutkan banjir.

Katanya dalam program bermula semalam, pihaknya sudah menerima 53 permohonan membuat Mykad, 28 Sijil Kelahiran dan dua Sijil Kematian.

"Pemohon tidak semestinya dalam kalangan mangsa banjir lumpur sahaja, ia turut dibuka kepada semua penduduk Yan yang mahu menggantikan sebarang dokumen yang rosak atau hilang disebabkan kecuaian.

"Orang ramai yang datang juga tidak perlu menunggu lama, dalam tempoh 30 minit dokumen boleh siap dan semua perkhidmatan ini adalah secara percuma," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan individu yang kehilangan MyKad akibat kecuaian agar berwaspada berikutan JPN tidak akan sewenangnya memperbaharui MyKad mereka terutama yang didapati hilang sebanyak tiga kali.

"Walaupun mereka mampu bayar denda RM1,000 selepas tiga kali hilang MyKad, panel JPN akan siasat dahulu dan meneliti semua perkara bahawa kehilangan itu tidak berkaitan jenayah.

"Kita akan cuba mengetahui punca kehilangan sebelum menggantikannya dengan yang baharu. Jadi jagalah MyKad dengan baik dan rasa tanggung jawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:10 PM