GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu akan menggerakkan dua pasukan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri.

Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, pasukan terdiri daripada 20 kakitangan jabatan itu akan membantu mangsa membuat permohonan dokumen ganti di PPS sebelum proses penggantian dibuat di pejabat JPN terdekat.

"Kita (JPN) sentiasa mengingatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan berisiko banjir supaya bersedia setiap kali tiba musim tengkujuh dengan meletakkan dokumen penting di tempat tinggi dan selamat.

"Namun, bencana adalah di luar kawalan. Apa yang terjadi, air naik lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Oleh itu, JPN akan membuat dokumen pengenalan ganti dalam tempoh kurang 24 jam untuk memudahkan urusan mangsa banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut rekod JPN Terengganu, sebanyak 5,189 MyKad dilaporkan hilang pada tempoh kemuncak musim tengkujuh (Disember dan Januari) disebabkan kes bencana banjir, jenayah dan kecuaian.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,139 kes direkodkan pada 2018 diikuti 1,803 kes pada 2019, 1,608 kes (2020) dan 639 (Januari 2021).

Selain kad pengenalan, sijil kelahiran anak sering dilaporkan hilang setiap kali musim banjir dan bagi kes bencana, tiada sebarang denda dikenakan terhadap mangsa.

Beliau berharap semua individu yang menjumpai semula MyKad hilang setelah proses permohonan penggantian dibuat supaya menyerahkan dokumen itu di mana-mana kaunter JPN terdekat kerana ia tidak lagi sah untuk digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:30 PM