AKSI cemerlang Senegal curi tumpuan ramai pada Kejohanan Piala Negara Afrika.
AKSI cemerlang Senegal curi tumpuan ramai pada Kejohanan Piala Negara Afrika.
CISSE akui Cameroon miliki barisan  pemain hebat dan jurulatih berpengalaman.
CISSE akui Cameroon miliki barisan pemain hebat dan jurulatih berpengalaman.
AFP

Libreville: Jurulatih Senegal Aliou Cisse tegas mengatakan bahawa lawan mereka di Piala Negara Afrika Cameroon adalah pilihan untuk memenangi pertembungan suku akhir di Franceville, hari ini.

Begitupun, pemerhati tetap memilih Senegal yang digelar ‘Singa Teranga’ itu sebagai pasukan yang mampu layak bukan saja ke separuh akhir tetapi juara buat kali pertama.

Senegal cukup meyakinkan ketika menjuarai Kumpulan B dengan menewaskan Tunisia serta Zimbabwe 2-0 sebelum seri 2-2 dengan Algeria walaupun menurunkan barisan simpanan.

Cameroon pula menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Burkina Faso, menang 2-1 ke atas Guinea-Bissau dan seri tanpa jaringan dengan Gabon.

Cisse lebih suka menjadikan Cameroon sebagai pilihan ketika bercakap mengenai pertembungan suku akhir itu dan ia adalah pertemuan keempat kedua-dua negara di Piala Negara Afrika dengan Cameroon memegang rekod pertemuan 2-1.

“Cameroon adalah pilihan,” katanya. “Mereka adalah juara empat kali manakala Senegal tidak pernah menang. Justeru, jika ada yang menganggap pertemuan itu perlu ada pasukan pilihan, maka ia adalah Cameroon.

“Mereka mempunyai pemain yang hebat selain jurulatih berpengalaman. Saya dan pasukan amat berbangga dapat bermain menentang mereka.”

Bekas pemain kebangsaan itu juga menganggap mereka tidak layak untuk dilabel selaku pasukan pilihan di kejohanan kali ini.

“Bagaimana kami boleh diletakkan sebagai pilihan jika kejohanan itu turut menampilkan Ghana, Maghribi dan Republik Demokratik Congo?

“Ghana adalah finalis edisi lalu, Maghribi pula sangat menyerlah dan DR Congo pula mempamer kebangkitan yang sangat menarik.

“Bagi saya, layak ke suku akhir sudah boleh dianggap sebagai kejayaan besar ketika Senegal tidak pernah berjaya ke pusingan kedua sejak edisi 2006 di Mesir.

“Sasaran pertama kami ialah untuk melepasi peringkat kumpulan dan pemain saya berjaya melakukannya. Saya perlu mengucapkan tahniah buat mereka.”

Cisse enggan menjadikan pertemuan terakhir Cameroon-Senegal di final 2002 yang dimenangi 3-2 menerusi penalti oleh Cameroon sebagai perbandingan.

Beliau ketika itu masih lagi mengetuai pasukan negaranya dan gagal menyempurnakan penalti hingga mengakibatkan mereka tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:07 AM