MANE (kiri) diterjah pemain Colombia, Juan Cuadrado pada aksi Piala Dunia di Russia tahun lalu. — FOTO Agensi
MANE (kiri) diterjah pemain Colombia, Juan Cuadrado pada aksi Piala Dunia di Russia tahun lalu. — FOTO Agensi
AFP

SENEGAL akan memulakan kempen Piala Negara Afrika menentang Tanzania awal pagi Isnin ini tanpa bintang Liverpool, Sadio Mane namun jurulatih Aliou Cisse tidak bimbang.

Penyerang berusia 27 tahun itu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning pada pusingan kelayakan kejohanan dwitahunan itu.

“Ketiadaannya tidak harus membimbangkan kami,” tegas Cisse, sebahagian daripada pasukan Senegal yang muncul naib juara di tangan Cameroon pada Piala Negara Afrika 2002, pencapaian terbaik mereka.

“Sudah pasti kehadiran Sadio menguntungkan, namun tanpanya kami tetap kuat,” jelas bekas pemain tengah Paris Saint-Germain itu menjelang aksi Kumpulan C di Kaherah.

Mane turut terlepas aksi pembukaan kejohanan 2015 di Equatorial Guinea menentang Ghana kerana kecederaan betis.

Jurang besar ranking antara dua negara itu tidak membimbangkan jurulatih Tanzania, Emmanuel Amunike, pemenang Piala Negara Afrika sebagai pemain bersama Nigeria 25 tahun lalu.

“Jangan terkejut jika anda lihat pasukan kuasa besar ini bungkus lebih awal dan menuju pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 10:42 AM