AZAHA  menunjukan Kopi Badang yang menggunakan 100 peratus kopi asli.
AZAHA menunjukan Kopi Badang yang menggunakan 100 peratus kopi asli.
Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Al Mubarak Health Sdn Bhd yakin produk kopi segera pracampur 3 dalam 1, Kopi Badang yang menggunakan 100 peratus kopi tulen tanpa campuran bahan tiruan akan mendapat sambutan daripada peminat tegar minuman itu di negara ini.

Berada di pasaran sejak Ogos tahun lalu, produk yang tidak menggunakan perasa, pewarna atau pengawet tiruan itu semakin mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pengguna.

Pengasasnya Azaha Beram berkata, Kopi Badang mempertaruhkan penggunaan 100 peratus kopi tulen yang bebas daripada sebarang bahan tiruan yang dihasilkan menggunakan kopi Robusta dari Columbia yang sesuai dengan cita rasa orang Asia.

“Ia dirumus bersama gula dan krimer yang tidak mengandungi bahan dari luar negara, sebaliknya krimer yang diperbuat daripada isi rong kelapa sawit tempatan.

“Selain itu, produk kami juga memiliki perakuan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta dihasilkan di premis yang mempunyai piawaian kebersihan sama seperti bilik bedah.

“Maklum balas positif diterima daripada pelanggan terhadap Kopi Badang setakat ini meyakinkan kami untuk menjadikan produk ini sebagai pilihan utama pengemar kopi.

“Untuk itu, Al Mubarak Health mempunyai rancangan untuk meluaskan pasaran Kopi Badang sedia ada ke seluruh negara dengan mencari wakil pengedar dan stokis,” katanya.

Menurutnya, Kopi Badang boleh didapati di kedai runcit dan restoran di seluruh Johor serta beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan sebelum bercadang mengintai pasaran luar negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Al Mubarak Health, Dr Ballan Paraman berkata, syarikat itu yakin dapat menembusi pasaran negara jiran berdasarkan kaedah pembungkusan produknya yang menepati piawaian antarabangsa.

Menurutnya, Kopi Badang turut mendapat minat rakan niaga dari beberapa negara seperti China dan India selain Singapura dan Indonesia serta negara Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:13 AM