Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama pegawai bertugas menunjukkan minyak wangi berjenama antarabangsa tiruan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Seri Kembangan. - FOTO Bernama
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama pegawai bertugas menunjukkan minyak wangi berjenama antarabangsa tiruan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Seri Kembangan. - FOTO Bernama
Hanis Aliaa Hidzir

UMUM sedia maklum produk minyak wangi berjenama dijual dengan harga yang agak mahal di pasaran.

Hal ini menyebabkan terdapat sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan memperdaya pengguna dengan menyatakan minyak wangi tiruan sebagai tulen.

Minyak wangi tiruan ini dijual pada harga lebih murah atau setanding harga asal dengan dakwaan produk berkenaan adalah barangan terbuang kilang.

Pihak berkuasa tempatan dilihat tidak memandang enteng isu lambakan minyak wangi tiruan di pasaran apabila mana banyak serbuan dan rampasan dilaksanakan bagi memerangi kemasukan barangan tiruan ke negara ini.

367 unit bernilai lebih RM30,000

Pada 2017, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 367 unit minyak wangi tiruan dalam dua serbuan berasingan di Kajang dan Puncak Alam dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM33,720.

Menurut risikan dan maklumat awam, kedua-dua premis terbabit dijadikan pusat penyimpanan pelbagai minyak wangi tiruan jenama terkenal sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kes ini disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Berita asal: KPDNKK rampas minyak wangi tiruan

Untung lebih RM10,000 sebulan

Antara yang mendapat perhatian ramai ialah kes seorang 'Instafamous' yang ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di sebuah kondominium di Seri Kembangan pada Oktober tahun lalu.

Berupaya mengaut keuntungan lebih RM10,000 sebulan hasil jualan minyak wangi tiruan pelbagai jenama antarabangsa, kegiatan wanita itu terbongkar dan ketika serbuan pihak KPDNHEP menemui kira-kira 1,000 botol minyak wangi tiruan di dalam rumah berkenaan.

Dijual pada harga RM150 sehingga RM200 sebotol, wanita yang menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan jualan minyak wangi tiruan itu mendakwa produk yang dijualnya adalah tulen.

Berita asal: Instafamous kantoi jual minyak wangi tiruan [METROTV]

Rampasan terbesar bernilai RM1.76 juta

Antara rampasan terbesar KPDNHEP pernah peroleh adalah menerusi serbuan enam premis penjualan barangan tiruan di Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,762,800.

Ketika diserbu, pekerja di premis terbabit sedang melakukan kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran.

Pihak berkuasa turut menemui 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama di premis yang dijadikan tempat menyimpan stok.

Barangan tiruan itu diperolehi dari China dan selepas proses pembungkusan akan diedarkan kepada pemborong di sekitar Lembah Klang dan dijual dalam talian.

Berita asal: Premis simpan minyak wangi tiruan diserbu

Bahaya buat pengguna

Nilai rampasan yang besar menunjukkan industri barangan tiruan berada pada tahap kritikal selain kesedaran mengenai bahaya dan akibat menggunakan barangan tiruan masih di tahap rendah.

Kebanyakan rakyat Malaysia terlalu memuja barangan berjenama terutama buatan luar negara, namun kurang berkemampuan memilikinya disebabkan harga yang terlalu mahal.

Sebagai jalan singkat, mereka memilih produk sama namun berbeza dari segi kualiti, malah jauh lebih murah asalkan kelihatan bergaya dengan produk berjenama.

Lebih membimbangkan adalah penggunaan ubat dan minyak wangi tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan, sekali gus membawa maut kepada pengguna.

Kandungan bahan kimia di dalam minyak wangi tiruan pelbagai jenama terkemuka boleh mengakibatkan kesan radang kulit selain kanser hati kepada pengguna.

Ini kerana bahan kimia minyak wangi tiruan akan meresap masuk ke dalam tubuh melalui kulit yang kebiasaannya disembur pada bahagian sensitif seperti pergelangan tangan, leher dan badan.

Selain itu, kajian membuktikan pengguna boleh mengalami kesan rabun atau buta jika cecair minyak wangi tiruan terkena tepat pada mata serta menjadi punca sesak nafas dan masalah pernafasan.

Ini berpunca daripada kandungan kimia berat terutama methanol yang kerap digunakan di dalam produk tiruan ini, berbeza dengan pewangi tulen yang lazimnya menggunakan ethanol sebagai pelarut selamat dari sudut kesihatan selain kuantiti tidak berlebihan.

Kandungan methanol di dalam minyak wangi palsu juga akan berubah menjadi formalin yang turut menjadi punca kanser hati selain mampu memberi kesan dalam tempoh singkat seperti pening, sakit kepala, mual, sakit perut dan gangguan penglihatan.

Lebih membimbangkan, pengguna turut terdedah dengan kesan sampingan jangka panjang seperti gangguan neurotoksik dan dermatitis fotokontak.

Justeru, penting untuk pengguna mengenal pasti dan menilai aspek keselamatan produk minyak wangi sebelum menggunakannya.

Beli produk yang disahkan selamat

Sebagai panduan mendapatkan minyak wangi yang selamat, pengguna boleh mengikuti panduan di bawah.

Image

Bagi membantu memudahkan pengguna mengenal pasti minyak wangi yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa, pembeli hanya perlu mencari produk dengan Perfume Safety Seal.

Image

Kandungan di dalam produk wangian dengan Perfume Safety Seal diiktiraf selamat digunakan tanpa memberi sebarang kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Dengan adanya kod QR pada setiap label keselamatan, pengguna juga dapat mengesahkan produk yang dibeli adalah tulen.

Berikut tiga langkah mudah untuk pengguna mengesahkan minyak wangi mereka selamat dengan Safety Seal:

Image

Antara jenama produk minyak wangi dengan Perfume Safety Seal dan disahkan selamat untuk digunakan termasuk Enchanteur, Dashing dan Romano.

Image

Untuk maklumat lanjut mengenai Perfume Safety Seal, layari https://perfumesafety.com.my/bm/.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 11:58 AM