Mohd Hanafis Abdul Haris


Kuala Lumpur: “Saya nak jadi doktor pakar mata, nak tolong mak ayah dan semua yang ada masalah penglihatan,” kata Aliyah Maisara Md Akir, 13, anak kepada pasangan cacat penglihatan.

Aliyah, anak bongsu daripada tiga beradik itu antara murid yang berjaya menempatkan diri ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah bagi sesi persekolahan tahun ini.

Dia berkata, bapa, Md Akir Jaidi dan ibu, Paizun Mat Jairi, berusia 50 tahun mengalami masalah penglihatan sejak lahir.

Menurutnya, ibunya tidak mampu melihat 100 peratus manakala bapanya hanya boleh melihat objek terang.

“Saya bangga kerana dapat gembirakan mak dan ayah. Hanya dengan keputusan cemerlang ini saja yang saya termampu untuk buat mereka tersenyum,” katanya.

Aliyah berkata, memang hasratnya untuk belajar di MRSM kerana mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan cacat penglihatan.

“Jika mak ayah kita serba kekurangan, kita sebagai anak harus buktikan kita mampu berjaya sama seperti orang lain. Saya akan buktikan saya mampu menjadi doktor pakar mata,” katanya.

Sementara itu, Paizun berkata, dia bersyukur dengan kejayaan anak bongsunya itu kerana memang menjadi impian Aliyah untuk memasuki MRSM.

“Dia kata dia nak jadi doktor, nak pulihkan golongan yang senasib dengan saya dan suami. Saya tak halang malah menyokong, cuma jangan lupa solat jika di sana nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, hari ini.

Terdahulu Aliyah bersama ibu bapanya menerima lawatan istimewa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam lawatan itu Ismail Sabri menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM serta bantuan kewangan kepada remaja terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:36 PM
Aliyah Maisara (dua dari kanan) yang memperoleh keputusan UPSR cemerlang 6A pada 2016 membacakan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada ibu bapanya, Paizun  (dua dari kiri) dan Md Akir di Flat PPR Jelatek. Turut kelihatan kakaknya, Anis Rafidah Md Akir, 20, (kiri) dan Fatin Nur Syafiqah Md Akir, 22, (tengah). FOTO Asyraf Hamzah
Aliyah Maisara (dua dari kanan) yang memperoleh keputusan UPSR cemerlang 6A pada 2016 membacakan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada ibu bapanya, Paizun (dua dari kiri) dan Md Akir di Flat PPR Jelatek. Turut kelihatan kakaknya, Anis Rafidah Md Akir, 20, (kiri) dan Fatin Nur Syafiqah Md Akir, 22, (tengah). FOTO Asyraf Hamzah