Nazdy Harun

Kuala Nerus: Pasangan berhati 'emas' apabila bukan sahaja mampu hidup susah dan senang bersama, malah sanggup memilih pasangan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sebagai teman hidup.

Begitu kehidupan dilalui Ramli Salleh, 43, dan isteri Roha Abdullah, 43, dari Kampung Banggol Binjai, Tepoh, di sini, yang bertemu dan berkenalan di Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu.

Menurut Ramli, segala-galanya bermula apabila dia dipelawa ahli lelaki untuk mengetahui teknik urutan refleksologi dengan lebih lanjut di premis kelolaan Pertis.

Katanya, kehadirannya mencetuskan detik perkenalan dengan isterinya sebelum dia menyatakan hasrat untuk berkahwin selepas mengenalinya kira-kira empat bulan walaupun mengetahui wanita itu adalah OKU cacat penglihatan.

"Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab berat memandangkan isteri bukan insan normal, namun apabila hati sudah terpaut maka saya membuat keputusan untuk memperisterikannya.

"Memang diakui bukan mudah seseorang yang normal untuk berkahwin dengan seseorang yang cacat penglihatan, namun ia bukan halangan buat saya untuk menempuhi cabaran ini.

"Alhamdulillah, sepanjang tujuh tahun perkahwinan saya mampu menyelami kehidupan seorang OKU cacat penglihatan dan hasil perkongsian hidup kami dikurniakan dua cahaya mata, Abdul Fatah, 6, dan Nur Dhiahumairah, 2," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ibu bapanya, Halimah Ismail, 85, dan Salleh Mamat, 85, serta lapan adik beradiknya memberi dorongan, sekali gus bersetuju dengan pilihannya untuk memperisterikan wanita OKU cacat penglihatan.

Selain itu katanya, rakan-rakan juga banyak memberi dorongan dan nasihat kepadanya supaya menjaga amanah yang besar apabila berkahwin dengan seorang yang dikategori kurang upaya.

"Kami berkenalan hanya empat bulan sebelum berkahwin dan saya bersyukur dengan jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT ini, malah berharap perkahwinan ini akan kekal hingga akhir hayat.

"Yakin pada jodoh itu pegangan saya dan berharap insan lain boleh menjadikan kisah ini sebagai ikhtibar kerana walaupun kita dilahirkan normal... tidak semestinya jodoh kita juga insan normal dan semuanya adalah takdir," katanya.

Sementara itu, Roha berkata, pada mulanya dia juga berasa was-was dengan keputusan pasangannya kerana memikirkan keadaan dirinya mempunyai kekurangan.

"Namun, takdir Allah itu pasti dan tiada siapa yang mampu mengubahnya lalu saya bersetuju selepas dilamar oleh suami.

"Saya anggap suami seorang yang hebat kerana sanggup memperisterikan seorang OKU cacat penglihatan kerana dia (suami) sedia maklum mengenai keterbatasan saya untuk melakukan sebarang kerja," katanya.

Menurutnya, semua 10 adik-beradik suaminya bersetuju dengan keputusannya untuk berkahwin dengan insan normal walaupun pada mulanya ada yang terkejut mendengar perkhabaran itu.

Katanya, bapanya, Abdullah Ali, 68, gembira melihatnya mendirikan rumah tangga dan sentiasa memberi nasihat supaya menjadi seorang isteri yang taat kepada suami.

"Sejak bergelar suami isteri, saya mendapati suami tidak kekok membawa saya ke mana saja walaupun terpaksa dipimpin," katanya.

Syukur isteri terima kekurangan diri

"Tiada apa yang dapat diungkapkan kecuali bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila isteri menerima kekurangan diri," kata Aziz Musa, 53, dari Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, Marang.

Menurutnya, hasil perkongsian hidup dengan pasangannya Sabariah Mokhtar, 47, mereka dikurniakan empat cahaya mata berusia 17 hingga 24 tahun dan semuanya masih bersekolah serta menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, kisah hidupnya berbeza berbanding rakan-rakannya kerana dia sebelum ini boleh melihat namun dengan pandangan terhad selain pernah bertugas sebagai kakitangan awam.

"Namun, saya sudah maklum kepada isteri mengenai penyakit dialami dan impaknya sehingga membawa kepada hilang penglihatan, namun bersyukur isteri tetap menerima saya seadanya.

"Saya mengalami Retinitis Peigmentosa (RP) iaitu penyakit genetik yang mengakibatkan hilang daya penglihatan," katanya.

Menurutnya, selepas penglihatannya semakin merosot, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Katanya, isterinya juga memberitahu kepada ahli keluarganya mengenai penyakit yang dihadapi dan mereka boleh menerima hakikat berkenaan.

SABARIAH  menemani  Aziz  ketika mengikuti kelas pengajian al-Quran di Pertis.
SABARIAH menemani Aziz ketika mengikuti kelas pengajian al-Quran di Pertis.

Sementara itu, Sabariah berkata, walaupun mengetahui suami akan hilang penglihatan, dia tetap bersama suaminya selagi masih bernyawa.

"Bagi memudahkan pergerakan suami untuk ke mana-mana sahaja, saya akan menjadi pembantu peribadinya. Begitu juga dengan anak-anak yang sering membantu ayahnya untuk bergerak terutama apabila suami meminta untuk dihantar ke lokasi ingin dituju.

"Saya sedia maklum suami akan hilang penglihatan, namun saya akan terus berusaha membantunya (suami) untuk terus bersemangat menempuhi cabaran hidup ini," katanya.

Dalam pada itu, Hanafi Abdul Rahman, 65, yang juga OKU cacat penglihatan dari Taman Rahmat, Marang berkata, Allahyarham isteri pertamanya adalah individu celik, manakala perkahwinan keduanya juga dengan individu celik.

"Saya mendirikan rumah tangga dengan Maziah Jusoh, 51, sejak tiga tahun lalu selepas diperkenalkan oleh kakak isteri yang juga pelajar kelas al-Quran di Pertis.

"Alhamdulillah, jodoh itu rahsia Allah dan kita sebagai manusia perlu menerima ketentuan dan bagi saya memiliki pasangan yang celik banyak kelebihannya.

"Mereka sekurang-kurangnya dapat membantu memudahkan urusan kehidupan dan bukan kita perlu melepaskan 100 peratus tugas kepada pasangan celik kerana individu cacat penglihatan juga boleh melakukan kerja secara sendiri," katanya yang juga tenaga pengajar kelas al-Quran di Pertis Wilayah Terengganu.

Kata bapa kepada tujuh cahaya mata berusia 28 hingga 41 tahun itu, pasangan hidup adalah pelengkap dan tiada apa yang perlu dimalukan apabila memilih untuk memperisteri atau bersuamikan individu cacat penglihatan.

Usah terkongkong stigma 'kalau'

Perkahwinan antara pasangan celik dan cacat penglihatan kurang berlaku dalam kalangan masyarakat berikutan pelbagai andaian dalam kalangan keluarga.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu Mohd Fauzi Mansor, 51, berkata, keluarga perlu memainkan peranan dan tidak terlalu terkongkong dengan stigma 'kalau' kerana ia akan menghalang ahli keluarga mereka untuk hidup berdikari dan berkeluarga.

"Salah satu mungkin disebabkan akan wujud bebanan kepada pasangan celik sekiranya berkahwin dengan pasangan yang cacat penglihatan, namun ia bergantung kepada penerimaan seseorang individu itu sendiri.

"Ada juga kes dalam kalangan ahli Pertis yang sama-sama cacat penglihatan berhajat untuk berkahwin, namun dihalang keluarga kerana berpandangan akan lebih membebankan kerana kedua-duanya tidak dapat melihat," katanya.

Menurutnya, bebanan dan masalah sebenarnya tidak timbul apabila berlaku perkahwinan antara individu cacat penglihatan dengan individu celik atau jika kedua-duanya cacat penglihatan.

Katanya, setiap individu mempunyai masalah tersendiri dan Allah menciptakan setiap makhluk mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Oleh itu, kita sebagai ahli keluarga, jangan cepat menjatuhkan hukuman dan melihat perkahwinan dalam kalangan orang cacat penglihatan ini sebagai satu bebanan," katanya.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor, 51, (berdiri) memantau kelas al-Quran kendalian PERTIS.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor, 51, (berdiri) memantau kelas al-Quran kendalian PERTIS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 1:00 PM
RAMLI  menyatakan hasrat untuk berkahwin selepas mengenali Roha kira-kira empat bulan. -FOTO NAZDY HARUN
RAMLI menyatakan hasrat untuk berkahwin selepas mengenali Roha kira-kira empat bulan. -FOTO NAZDY HARUN