SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC). FOTO BERNAMA
SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasaran modal Malaysia yang bernilai RM3.6 trilion kekal berdaya tahan pada 2022, walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran global yang semakin meningkat dan halangan mencabar merentasi pelbagai kelas aset.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, jumlah dana yang diperoleh bernilai RM179.4 bilion adalah yang tertinggi dicatatkan, diterajui oleh jumlah rekod terbitan bon korporat dan sukuk, manakala derivatif dagangan bursa juga mencatatkan rekod volum sebanyak 18.8 juta lot didagangkan.

Bagaimanapun, katanya penilaian keseluruhan yang lebih lemah mengakibatkan penurunan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM906.5 bilion.

"Pemerhatian yang berbeza ini mempamerkan keseimbangan yang halus antara memacu pertumbuhan dan mengadaptasi amalan berhemah ketika menghadapi situasi ketidaktentuan.

"Kepercayaan dan keyakinan yang berterusan dalam persekitaran pengumpulan dana dan pelaburan Malaysia bergantung pada cara elemen ini diuruskan oleh pihak berkepentingan pasaran," katanya menerusi perutusan Laporan Tahunan SC 2022 yang dikeluarkan semalam.

Awang Adek berkata, dalam menggalakkan tingkah laku pasaran berhemah, pasaran modal Malaysia berterusan menekankan nilai berhemah dan akauntabiliti bersama.

Jelasnya, pendekatan tersebut membolehkan pasaran mengurus risiko dengan lebih baik, memelihara keseluruhan daya tahan dan kestabilan kewangan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Ia memerlukan pelaksanaan pengawasan berterusan dan penyeliaan audit, serta penilaian tematik ke atas pengantara dan institusi berlesen bagi memastikan keteguhan infrastruktur pasaran dan proses industri.

"Jika perlu, panduan tambahan disediakan untuk risiko baharu muncul termasuk menguruskan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi syarikat pengurusan dana (FMC)," katanya.

Menurut beliau, amalan dana institusi domestik diperkukuh pada 2022 dengan penerbitan prinsip tadbir urus yang baik untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selaras dengan objektif negara dan Kod Pelabur Institusi Malaysia 2022 yang dikemaskini.

Syarikat awam tersenarai (PLC) juga dijangka mengambil kira risiko kemampanan mereka di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Dipertingkat Bursa Malaysia untuk Penerbit Tersenarai.

"Di samping itu, SC akan kekal berwaspada dan mengambil tindakan tegas menangani salah laku atau manipulasi pasaran, dan sepanjang 2022, tindakan penguatkuasaan kami meliputi antara lain dagangan orang dalam, pengeluaran kenyataan palsu dan aktiviti tidak berlesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 8:40 AM