KEBANYAKAN gelandangan nyenyak tidur ketika sukarelawan meletakkan sumbangan makanan berhampiran mereka.
KEBANYAKAN gelandangan nyenyak tidur ketika sukarelawan meletakkan sumbangan makanan berhampiran mereka.
WARGA emas ini melihat sumbangan yang diterima daripada peserta Street Welfare.
WARGA emas ini melihat sumbangan yang diterima daripada peserta Street Welfare.
PESERTA Street Welfare dari UUM dan Kindness Kedah bergambar kenangan sejurus program tamat.
PESERTA Street Welfare dari UUM dan Kindness Kedah bergambar kenangan sejurus program tamat.
Mohd Sharumnisham Shahbudin

Biarpun sibuk menjalani kehidupan sebagai mahasiswa, ia tidak menghalang sekumpulan 38 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) meredah kesejukan malam menyantuni gelandangan di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, Kedah.

Malah program ‘Street Welfare’ anjuran Persatuan Kewangan dan Perbankan Islam UUM memberi 1,001 pengalaman buat mereka menyelami kehidupan golongan terbabit.

Pengarah program, Nur Shuhada Aida Shamsudin, 22, berkata, program ini tercetus kerana ingin memberi pengalaman baru kepada ahli persatuan dan memilih untuk membantu gelandangan kerana golongan ini sukar mendapat pembelaan.

“Menerusi kutipan berjumlah RM1,603 yang disumbangkan penuntut UUM sendiri, kita membeli makanan, barangan keperluan harian dan ubat pencegah nyamuk untuk diedarkan kepada gelandangan yang ada di sini.

“Seramai hampir 30 orang yang kurang bernasib baik ini berjaya dibantu dan kita turut mendapat kerjasama daripada 15 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kindness Kedah yang aktif membantu golongan ini,” kata penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini.

Dalam program yang berakhir sekitar 1 pagi itu, peserta turut mengedarkan sumbangan kepada mereka yang bertugas pada malam terbabit termasuk pengawal keselamatan dan pencuci.

Seorang lagi sukarelawan, Nurfarah Hanani Amir Hamzah, 29, berkata, dia teruja apabila menyertai program amal ini.

“Program ini memberi persepsi baru kepada saya berkenaan gelandangan kerana sebelum ini kurang mendekati kehidupan mereka.

“Bagi saya, mereka ini golongan yang berani kerana berhadapan pelbagai risiko seperti dirompak, dilanggar dan mungkin dicabul bagi wanita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kindness Kedah Azrul Abdul Razak, 31, berkata, pihaknya mula mendekati golongan ini sejak 2013 lagi dengan menyediakan makanan percuma kepada mereka.

“Namun begitu, kita tidak mampu menyediakan makanan ini pada setiap malam kerana dana yang terhad tapi sedaya upaya melaksanakannya dua minggu sekali (setiap Jumaat) bagi membantu gelandangan ini dan kerjasama dengan pihak UUM ini sangat dialu-alukan.

“Lebih membanggakan ada kalangan gelandangan ini berkeluarga dan mempunyai anak yang masih kecil. Tidak pasti bagaimana masa depan anak ini kelak kerana mereka menolak untuk merujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dianggarkan terdapat lebih 30 orang hidup di jalanan di pusat bandar raya Alor Setar ini dan kebanyakannya tertumpu di sekitar Pekan Rabu dan dataran berhadapan Masjid Zahir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:04 AM