SUKARELAWAN yang mengikuti program memberi sumbangan makanan yang dijalankan oleh Suka Amal.
SUKARELAWAN yang mengikuti program memberi sumbangan makanan yang dijalankan oleh Suka Amal.
GELANDANGAN beratur untuk mendapatkan makanan daripada Suka Amal di sekitar Lorong Berangan, Pelabuhan Klang dan  sekitar Klang Lian He Temple.
GELANDANGAN beratur untuk mendapatkan makanan daripada Suka Amal di sekitar Lorong Berangan, Pelabuhan Klang dan sekitar Klang Lian He Temple.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Klang: Setiap Isnin kira-kira jam 9 malam, sekumpulan 15 sukarelawan Suka Amal mendekati lebih 80 gelandangan di sekitar daerah ini dan Pelabuhan Klang.

Kunjungan mereka bukan sekadar mahu mengagihkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di kawasan itu namun pada masa sama mengetahui nasib mereka.

Presiden Suka Amal, Mohd Zaid Rasol, 30, berkata, program yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu bertujuan membantu golongan berkenaan supaya mereka menemui sinar baru dalam kehidupan masing-masing.

“Kami memulakan aktiviti ini selepas simpati melihat keadaan gelandangan ini merempat di kaki lima dan berlapar.

“Mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan ada antara mereka menjadi gelandangan bersama anak-anak serta keluarga di sekitar kawasan ini.

“Jadi dengan bantuan daripada sukarelawan bersama syarikat korporat dan individu yang sudi memberi sumbangan dapatlah kami menyediakan makanan kepada mereka setiap minggu pada malam Isnin,” katanya ditemui baru-baru ini.

Mohd Zaid berkata, Suka Amal bukanlah badan sukarelawan yang hanya memberi makanan kepada gelandangan semata-mata tetapi memberi peluang untuk mereka mendekati dan mendengar masalah gelandangan itu.

“Kami memberi makanan kepada gelandangan ini secara statik dan setempat.

“Hanya tempat tertentu saja akan menerima makanan daripada kami setiap minggu seperti di Lorong Berangan, Pelabuhan Klang dan sekitar Klang Lian He Temple.

“Dengan cara itu, ia merapatkan lagi hubungan Suka Amal bersama gelandangan ini dan secara tidak langsung kami dapat mendengar masalah mereka,” katanya.

Mohd Zaid berkata, badan sukarelawan itu menggunakan sistem kad atau tiket kepada mereka bagi mengenali setiap gelandangan yang mendapat makanan.

“Makanan yang diberikan kepada gelandangan semua menggunakan tiket.

“Daripada sistem tiket ini kami dapat mengesan gelandangan yang sudah berpindah atau mengubah nasib mereka dengan bekerja seterusnya mencari rumah untuk didiami.

“Untuk memperoleh tiket ini, kami akan membuat penapisan dan memeriksa latar belakang gelandangan ini sebelum menyerahkan tiket berkenaan.

“Tiket ini akan disimpan oleh mereka dan ditunjukkan kepada sukarelawan Suka Amal ketika mendapatkan makanan,” katanya yang turut menerima gelandangan baru dalam program itu.

Menurutnya, mereka juga ada menawarkan pekerjaan kepada gelandangan di syarikat yang sudah dikenal pasti mempunyai jawatan kosong dan ada antara mereka sudah bekerja malah mengubah diri daripada terus menjadi gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 12:35 PM