GEMBIRA menunjukkan lukisan yang berjaya dihasilkan.
GEMBIRA menunjukkan lukisan yang berjaya dihasilkan.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Mendekati kanak-kanak di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan Kuala Lumpur menjadi pengalaman baru kepada sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) yang menjayakan projek Kaseh4U, baru-baru ini.

Melalui program Street Kids Painting , sukarelawan Kaseh4U menyantuni kanak-kanak kurang bernasib baik ini dengan memberi peluang mereka menonjolkan bakat melukis dan mewarna. Hasil karya kreativiti itu kemudian dipamerkan di UM.

Pengarah program Muhammad Izat Abu Talib berkata, aktiviti itu bukan saja bermatlamat membantu menggembirakan golongan berkenaan, malah menjadi platform kepada sukarelawan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial.

“Program ini boleh di­ibarat serampang dua mata iaitu menjadikan siswa UM warga berpendidikan selain melahirkan masyarakat prihatin membantu golongan memerlukan.

“Ia juga sebagai asas membina semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda dan siswa,” katanya.

Sukarelawan UM yang menyertai program itu juga menyifatkan kegiatan itu sebagai pengalaman berharga.

Siswa kejuruteraan bioperubatan Nur Iffahtul Najihah Anuar berkata, dia teruja menyertai program itu kerana dapat menyelami kehidupan masyarakat kota yang kurang bernasib baik.

“Ini pengalaman baru kepada saya dan rakan-rakan kerana program ini berbeza daripada kebiasaan.

“Ia bukan saja menyuntik kesedaran kepada kami untuk menyertai program kesukarelawanan, malah membentuk sikap simpati dan prihatin.

“Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk mendekati dan menyelami kehidupan golongan gelandangan kota,” katanya.

Selain menganjurkan aktiviti melukis untuk kanak-kanak, sumbangan makanan juga diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:01 AM