Kylie Jenner.
Kylie Jenner.
Susunan Michelle Gun


Siapa tidak mengenali Kylie Jenner yang mencipta nama menerusi program realiti keluarganya, Keeping Up With The Kardashians.

Seperti anggota keluarganya yang lain, model dan sosialit berusia 18 tahun ini sentiasa menjadi perhatian media kerana sering mencetuskan kontroversi.

Terbaru, Jenner yang juga usahawan kosmetik dikatakan cuba mendaftarkan namanya sebagai ‘Kylie’ untuk hak cipta di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, penyanyi pop terkenal Australia, Kylie Minogue segera bertindak dengan memfailkan saman terhadap Jenner selain menyindir selebriti itu di Twitter.

Difahamkan, Minogue, 47, bertindak sedemikian bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan peminat selain sudah lama menggunakan namanya dalam dunia seni serta perniagaan.

Menceburi bidang muzik sejak lebih 30 tahun lalu, laman web rasmi penyanyi itu, Kylie.com beroperasi setahun sebelum Jenner lahir iaitu pada 1996.

Dalam perkembangan lain, Jenner dalam satu temu bual, baru-baru ini memberi bayangan mahu berundur daripada program realiti itu kerana mengimpikan kehidupan sederhana.

Malah, menurut laman web Fashion & Style, selebriti itu mengakui kemewahan yang dimilikinya tidak mampu memberi kebahagiaan.

“Saya rasa akan bahagia sekiranya dapat hidup seperti orang biasa dan tidak perlu berpakaian cantik setiap kali keluar rumah.

“Saya mahu menjadi usahawan dan melakukan kerja di belakang tabir,” katanya.

Muncul dalam Keeping Up With The Kardashians sejak kecil, Jenner berkata, orang sekeliling menganggap mengetahui segalanya mengenai dirinya dan keluarganya.

“Sebenarnya, mereka tidak tahu apa-apa mengenai saya. Orang ini ingat dengan hanya menyaksikan program realiti mereka sudah mengenali saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:10 AM