WARGA emas yang selamat ditemui. FOTO ihsan bomba
WARGA emas yang selamat ditemui. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang petang semalam selepas keluar mencari hasil hutan di hutan Kampung Maang, Jalan Kuching-Serian ditemui selamat pagi tadi.

Raou Rothai, 84, ditemui dalam keadaan lemah oleh anaknya yang menyertai operasi pencarian kira-kira jam 9.05 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, wanita terbabit ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat petang semalam.

Menurutnya, mangsa dikatakan keluar seorang diri bagi mencari hasil hutan pagi semalam, namun tidak pulang sehingga malam menyebabkan ahli keluarganya bimbang.

"Pasukan bomba menerima panggilan mengenai kehilangan wanita terbabit dan sepasukan pegawai bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dihantar ke lokasi untuk operasi mencari.

"Mangsa ditemui lemah, namun tidak mengalami sebarang kecederaan. Beliau diserahkan kepada ahli keluarga untuk di bawa pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:25 PM