DUTERTE (tiga dari kiri) berbual dengan pegawai tentera laut Russia ketika melawat kapal antikapal selam negara itu di Manila, semalam.   - AFP
DUTERTE (tiga dari kiri) berbual dengan pegawai tentera laut Russia ketika melawat kapal antikapal selam negara itu di Manila, semalam. - AFP

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam berkata, dia berharap Moscow - seteru Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini sekutu utama Filipina - akan menjadi pelindung dan sekutu negara itu.

Duterte menyuarakan harapan itu ketika melawat satu daripada dua kapal perang Russia yang dalam lawatan empat hari ke Manila, sehari selepas duta Moscow menyuarakan kesediaan negaranya membekalkan Filipina dengan senjata canggih dan mahu menjadi kawan baiknya.

“Kami mengalu-alukan rakan Russia kami. Bila-bila saja kamu mahu berlabuh di sini untuk apa saja tidak kiralah untuk mendapatkan bekalan atau mungkin juga menjadi sekutu yang dapat melindungi kami,” kata Duterte ketika berjabat tangan dengan ketua Armada Pasifik Tentera Laut Russia, Laksamana Muda Eduard Mikhailov.

Duterte menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan Filipina-AS selepas berulang kali menampakkan kemarahan terhadap Washington dan mengurangkan hubungan ketenteraan selain mengambil langkah meningkatkan hubungan dengan China serta Russia.

Dia dijadualkan ke Moscow April ini. Lawatan kapal perang Russia ke Filipina itu adalah yang pertama seumpamanya.

Bulan lalu, Duterte menghantar menteri luar dan pertahanannya ke Moscow untuk membincangkan perjanjian senjata selepas seorang senator AS berkata, dia akan menyekat penjualan 26,000 raifal kepada Manila kerana bimbang dengan jumlah kematian akibat perang terhadap dadah yang dilancarkan pemimpin itu.

Mikhailov sebelum ini berkata, Russia berminat menjalankan latihan maritim dengan Filipina untuk memerangi keganasan dan kegiatan lanun. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:16 AM