DUTERTE
DUTERTE
AFP

Manila: Presiden Rodrigo Duterte yang mengetuai perang terhadap suspek dadah semalam menamakan lebih 150 ahli politik, pegawai awam, hakim, polis dan tentera yang dia kaitkan dengan narkotik serta memberi amaran supaya mereka menyerah diri.

Polis dan sukarelawan yang tidak dikenali didakwa bertanggungjawab membunuh lebih 800 suspek dadah sejak Duterte memenangi pilihan raya presiden 9 Mei lalu.

“Tidak ada perbicaraan di sini, tidak ada peguam,” kata Duterte ketika berucap awal pagi semalan, sebelum dia menyebut nama suspek.

Pemimpin Filipina itu menamakan tujuh hakim, lima general, termasuk yang sudah bersara dan selebihnya anggota kongres yang sedang berkhidmat atau yang pernah berkhidmat, datuk bandar dan pegawai tempatan lain yang dia dakwa terbabit dalam perdagangan dadah.

Duterte juga mengarahkan pengawal keselamatan pegawai berkenaan ditarik balik dan permit senjata mereka dibatalkan.

“Jika kamu melawan, walaupun sedikit, saya akan memberitahu polis, ‘Tembak saja,’” katanya kepada wartawan dan tentera di Davao, bandar di selatan Filipina.

Duterte yang menjadi popular kerana kelantangannya bagaimanapun mengaku: “Saya mungkin tersilap mengenai mereka yang dinamakan itu.”

Katanya, senarai nama itu diberikan oleh tentera dan polis dan ia tidak ada hubungan dengan politik atau hubungan peribadi.

Malah, ada yang dinamakan itu rakannya.

Jurucakap Duterte, Martin Andanar kemudian berkata, kes jenayah akan difailkan terhadap mereka yang berada dalam senarai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:59 AM