GAMBAR menunjukkan seorang anggota polis menendang penduduk Rohingya di Rakhine. - AFP
GAMBAR menunjukkan seorang anggota polis menendang penduduk Rohingya di Rakhine. - AFP

Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata, utusan khas bagi hak asasi manusia badan itu untuk Myanmar akan menyiasat keganasan yang semakin meningkat di negara berkenaan, termasuk keganasan terhadap etnik Rohingya ketika lawatannya minggu depan.

Lawatan 12 hari Yanghee Lee yang bermula Isnin ini turut merangkumi Kachin, tempat ribuan orang hilang tempat tinggal akibat pertempuran dengan tentera.

Perbalahan sengit antara tentera Myanmar dan penduduk minoriti negara itu menghalang usaha Aung San Suu Kyi untuk membuktikan dia mampu membawa keamanan di negara itu selepas kemenangan partinya dalam pilihan raya Mac tahun lalu.

Pemenang anugerah Nobel itu juga dikritik masyarakat dunia kerana gagal menghentikan keganasan tentera terhadap perkampungan Rohingya di Rakhine, utara negara itu.

Yanghee menyelar kejadian itu sebagai sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’ dan menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan tentera Myanmar merogol, membunuh dan menyeksa kumpulan etnik minoriti Islam itu.

Pihak tentera menafikan semua tuduhan berkenaan.

Kritikan terbukanya terhadap penindasan Rohingya Myanmar menyebabkan tunjuk perasaan membantahnya diadakan oleh pelampau Buddha ketika dia melawat negara itu sebelum ini.

Sami pelampau berhaluan kanan, Wirathu mencetuskan kemarahan apabila menggelar Yanghee ‘pelacur di negara kita’ kerana mengkritik perundangan kontroversi yang dianggap menindas wanita dan golongan minoriti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:13 AM