AFP

Doha: Pemain nombor satu dunia Andy Murray (gambar) mencatat kemenangan ke-26 berturut-turut selepas mengalahkan pemain Austria Gerald Melzer 7-6 (8/6), 7-5 sekali gus layak ke suku akhir Terbuka Qatar.

Dia akan disertai pilihan kedua Novak Djokovic yang mengetepikan Horacio Zeballos 6-3, 6-4 dalam tempoh 72 minit. Selepas tamat perlawanan, Djokovic terkejut apabila lawan dari Argentina itu meminta untuk mengambil swafoto bersama-samanya.

“Swafoto.... itulah kali pertama saya diminta berbuat demikian sepanjang karier saya,” kata Djokovic. “Horacio, tahniah kerana ia sangat tulen.”

Kemenangan Murray dalam tempoh dua jam 23 minit itu menjadi tumpuan dan mungkin aksi paling menarik dalam kejohanan setakat ini.

Di set pertama yang berlangsung selama 78 minit, Melzer menyelamatkan lapan mata penamat sebelum terpaksa akur dengan kekalahan tie-break.

Melzer yang menduduki ranking ke-68 dunia, berjaya menyaingi Murray dan hampir melakar kejutan.

Murray dilihat semakin kecewa dengan permainannya dan beberapa kali meminta rehat.

“Saya boleh dianggap bertuah kerana menang,” kata Murray. “Dia bermain cemerlang dan memenangi sebahagian besar perlawanan ini.

“Ia perlawanan yang amat sukar. Saya gembira dapat menangani situasi sebegini.

“Ia bukan mudah kerana saya perlu banyak bertahan dan saya tidak dapat mempamer permainan sebenar seperti biasa.

“Tapi perkara positif yang dapat diambil ialah saya kekal bertahan dengan bagus,” kata Murray.

Murray akan menentang pemain Sepanyol Nicolas Almagro pada suku akhir. Almagro menewaskan pemain Jerman Philipp Kohlschreiber 7-6 (7/5), 7-6 (8/6).

Djokovic akan bertemu Radek Stepanek selepas pemain Czech itu mengalahkan pemain Belgium Arthur De Greef 6-3, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 8:40 AM