AFP

Rome: Pilihan kedua Novak Djokovic (gambar) berkata, dia berada di landasan tepat untuk meningkatkan permainannya menjelang Terbuka Perancis selepas layak ke suku akhir Rome Masters dengan mengalahkan pemain Sepanyol Roberto Bautista Agut 6-4, 6-4.

Djokovic yang ditewaskan Andy Murray di final tahun lalu, akan bertemu Juan Martin del Potro di kelompok lapan pemain terakhir selepas pemain Argentina itu menang 7-6 (7/4), 6-3 ke atas pilihan ketujuh dari Jepun Kei Nishikori.

Rafael Nadal turut menempah tiket ke suku akhir dan bakal menentang Dominic Thiem selepas menang 6-3, 6-4 ke atas Jack Sock.

Bintang Sepanyol itu yang muncul juara tujuh kali di Rome, pernah mengetepikan Djokovic di separuh akhir kejohanan Madrid Masters minggu lalu.

Tetapi juara Terbuka Perancis Djokovic berkata: “Saya semakin hampir, saya rasa aksi hari ini adalah yang terbaik sepanjang bermain di gelanggang tanah liat musim ini.

“Ia hadir tepat pada masanya iaitu ketika kami semakin hampir untuk ke Roland Garros. Semua pemain menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk meningkatkan persembahan sebelum ke Paris.

“Saya sudah bekerja keras untuk meningkatkan permainan saya dan berharap ia dapat berlaku. Semakin hari, saya rasa semakin selesa dengan gelanggang dan turut selesa dengan pukulan.”

Djokovic berkemungkinan besar bertemu Nadal di separuh akhir selepas pemain Sepanyol itu menamatkan impian Sock dalam tempoh sejam 20 minit.

“Memang seronok dapat menang ke atas Jack. Dia seorang lawan yang hebat. Pukulannya kuat dan sukar diambil,” kata Nadal.

“Saya cuba bermain secara lebih agresif dan servis saya juga bertambah baik. Saya akan cuba bermain lebih agresif lagi selepas ini tetapi secara keseluruhan, saya gembira.

“Esok saya akan menentang Dominic. Dia mencipta banyak kejayaan di gelanggang tanah liat dan pastinya pertemuan itu akan berlangsung lebih sengit lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 3:01 AM