BERNAMA

Bera: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang selepas tamat bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, ramai perantau sudah memulakan perjalanan kerana perlu kembali ke tempat kerja pada Isnin ini, menyebabkan banyak lebuh raya utama mengalami kesesakan, yang dilaporkan sudah bermula sejak semalam.

"Saya harap semua memandu dengan berhati-hati dan tidak memaksa diri. Jika penat atau mengantuk, saya harap boleh berhenti dahulu untuk berehat sebelum kembali meneruskan perjalanan untuk keselamatan diri dan keluarga.

"Jangan paksa diri untuk cepat sampai dan bagi saya, kita perlu mendisiplinkan diri semasa memandu," katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri melambai ke arah orang ramai pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong. FOTOBERNAMA
ISMAIL Sabri melambai ke arah orang ramai pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong. FOTOBERNAMA

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau percaya pihak berwajib seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pengendali lebuh raya mempunyai perancangan jangka panjang untuk mengatasi kesesakan yang berlaku setiap kali musim perayaan.

Lebuh raya utama mulai sesak sejak beberapa hari lalu sebelum raya kerana orang ramai mengambil peluang untuk pulang menyambut hari raya selepas dua tahun tidak berbuat demikian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Cuti panjang yang bermula sejak hujung minggu lalu sebelum disusuli pelepasan umum disebabkan Hari Pekerja pada Ahad lalu, diikuti pelepasan Aidilfitri menyebabkan ramai mengambil cuti untuk berada lebih lama di kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 2:29 PM