MENCARI Mubarakh menemukan Sari Yanti dan Shah Jaszle sebagai pasangan kekasih.
MENCARI Mubarakh menemukan Sari Yanti dan Shah Jaszle sebagai pasangan kekasih.
SARI YANTI ditahan ketika menjalani penggambaran di Xinjiang, China.
SARI YANTI ditahan ketika menjalani penggambaran di Xinjiang, China.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Ditahan polis dan didakwa menceroboh adalah antara penga­laman tidak dapat dilupakan pelakon, Sari Yanti ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Mencari Mubarakh di Xinjiang, China, tahun lalu.

Sari Yanti yang melakonkan watak Masyitah menganggap apa yang dilalui adalah satu pengalaman ngeri, lebih-lebih lagi ia berlaku di luar negara dan kali pertama dialaminya.

“Semua yang terbabit adalah kru lelaki dan hanya saya seorang wanita. Saya juga sudah menyuruh adik saya yang berada bersama bersiap sedia menghubungi kedutaan sekiranya berlaku apa-apa.

“Bagaimanapun, mujur ini hanya salah faham dan keadaan kembali normal selepas mereka mendengar penjelasan kami,” katanya.

Menurut Sari Yanti, mereka dibebaskan selepas pengurus lokasi, Dr Rozmizah Chomil menunjukkan surat kebenaran daripada badan pelancongan Xinjiang serta tujuan melakukan penggambaran di situ.

Katanya, ketika penggambaran yang dibuat pada Jun tahun lalu itu, polis dan tentera mengawal hampir setiap penjuru kerana sering berlaku pengeboman dan tunjuk perasaan antara penduduk Islam dengan kaum Han.

Drama Mencari Mubarakh kini ditayangkan di TV1 jam 8.30 malam sejak 30 Jun lalu dan berakhir Ahad ini.

Selain Sari Yanti, ia turut menampilkan lakonan Shah Jaszle, Arja Lee, Shereen Al, Boy Ngasri, Mimi Lana, Zarina Zainudin dan Hilal Azman.

Sari Yanti berkata, dia dan Shah Jaszle juga terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam panas akibat keletihan selepas menempuh perjalanan jauh dengan kereta api di Urumqi.

“Faktor cuaca panas mencecah 45 darjah Celsius juga menimbulkan suasana kurang selesa. Ia kawasan padang pasir yang berdebu dan suhu pada waktu malam pula sangat sejuk.

“Bagaimanapun, ia memberi pengalaman baru buat saya kerana dapat menyelami budaya serta melihat cara hidup masyarakat di sana. Kami tak berdepan masalah mendapatkan makanan halal kerana ramai masyarakat Muslim tinggal di situ,” katanya yang pernah ke Sepanyol untuk penggambaran drama Suria Di Cordoba dan telemovie Cinta Di Cordoba pada 2011.

Selami budaya penduduk Islam China

Penerbit drama berkenaan, Darling Ngasri memilih Xinjiang sebagai lokasi kerana mahu melihat sendiri dan memahami kesusahan hidup orang Islam di sana yang selama ini hanya diketahui menerusi media.

“Majoriti penduduk di situ ialah kaum Uyrgur dan kehidupan mereka amat daif. Penggambaran dibuat di Urumqi dan Turpan. Dulu ketika menghasilkan drama Cinta Shanxi lakonan Lisdawati dan Ako Mustafa, saya memilih Shanxi, China sebagai lokasi.

“China juga unik dan tak jauh berbeza daripada Malaysia berbanding Eropah. Biar saya buat di negara yang orang jarang buat. Sebelum penggambaran bermula, saya

bersama penulis skrip dan pengurus lokasi meninjau lokasi selama 10 hari bagi memastikan penggambaran berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, kos untuk penggambaran drama hasil tulisan Farhana Fauri itu memang besar, namun dia puas hati kerana objektif utamanya adalah untuk menghasilkan drama bersifat kekeluargaan dan pada waktu sama dapat memberi pengajaran kepada penonton.

“Apa yang boleh dikongsikan, Mencari Mubarakh membawa kisah tersendiri buat kami. Bayangkan perjalanan kumpulan produksi kami dari Kuala Lumpur ke Beijing sudah memakan masa lima jam. Dari Beijing kami menaiki kereta api pula selama 31 jam.

“Tempoh perjalanan ini sememangnya meletihkan, namun pemandangan dan pengalaman menaiki Keretapi Jalan Sutera (Silk Road Train) sungguh mengujakan,” katanya yang turut menghasilkan telefilem berjudul Airmata Xinjiang ketika berada di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:28 AM