Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: IM Global Property Consultant Sdn Bhd melihat kerajaan perlu menyenaraikan kediaman jenis studio di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi membendung harga kediaman yang tidak sepadan dengan saiznya.

Ini berikutan kediaman jenis studio adalah di bawah kategori komersial yang membolehkan pemaju meletakkan harga jualan mengikut prestasi pasaran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ishak Ismail berkata, mengikut pemerhatiannya dalam tempoh 10 tahun lalu, jualan kediaman jenis itu di kawasan pinggiran bandar adalah sekitar RM200 kaki persegi kini meningkat kepada RM400 hingga RM500 kaki persegi bergantung kepada lokasi.

Beliau berkata, peningkatan harga rumah bersaiz kecil bukan saja disebabkan faktor jualan harga tanah mahal yang perlu ditanggung pemaju, tetapi penawaran kemudahan lain jadi penentu jualan kediaman.

“Jika dilihat ketika ini, rumah yang dijual dengan saiz kecil ditawarkan dengan kemudahan mewah seperti kawasan beriadah dilengkapi kolam renang, gimnasium serta sauna.

“Perkara ini dilihat sebagai nilai tambah kepada pembeli yang dianggap berbaloi untuk memiliki kediaman berkenaan walaupun bersaiz kecil,” katanya kepada Bisnes Metro.

Namun, melihat kepada situasi kehidupan urban hari ini, kemudahan nilai tambah itu menjadi pilihan kepada pembeli dan ada antaranya tidak kisah dengan saiz kediaman memandangkan ia boleh mengurangkan kos mereka untuk menikmati kemudahan seumpama itu di pusat komersial lain.

Katanya, faktor kemampuan juga mempengaruhi mengapa rumah bersaiz kecil menjadi pilihan pembeli memandangkan ketika ini harga rumah secara purata yang dilihat mampu milik antara RM400,000 hingga RM500,000 seunit.

“Jika dilihat pada keadaan pasaran hartanah sekarang, sukar untuk kita memiliki rumah baru di kawasan bandar dengan harga berkenaan terutama rumah teres atau bersaiz melebihi 1,000 kaki persegi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:09 AM