Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Melihat kepada papan iklan penjualan kediaman strata, salah satu elemen yang dipamerkan bagi menarik perhatian pembeli adalah arah pemandangan yang menjadi salah satu perkara nilai tambah kepada bakal pembeli.

Malah, pemandangan yang menghadap bangunan ikonik semestinya menjadi idaman bakal pembeli kerana ia mencerminkan kemodenan serta mampu melihat kawasan terpenting sesuatu lokasi dengan jelas tanpa ada halangan bangunan lain di depannya.

Dalam masa sama, pemandangan hijau juga menjadi salah satu tarikan pada hari ini bagi membolehkan pemilik kediaman menerima terapi selepas penat pulang dari kerja dan sebagainya.

Namun, perkara yang menjadi persoalan ialah mengapa faktor ‘pemandangan’ bagi sesebuah kediaman jenis strata ini menjadi penyumbang kepada harga jualan dan sama ada ia menjadi trend pada hari ini dalam kalangan pembeli sedangkan isu harga sememangnya penting ketika membuat keputusan dalam pembelian.

Pakar Hartanah, One Solution Corporation Services, Tuanbri Hashim berkata, pihaknya bersetuju bahawa pemandangan adalah salah satu elemen penting bagi pemaju hartanah menjual produk mereka kepada pembeli dan ia mampu menyumbang antara 10 dan 15 peratus kepada nilai jualan.

Beliau berkata, trend pembelian kediaman strata yang mempunyai pemandangan menarik juga sudah lama wujud sejak kira-kira lima tahun lalu terutama bagi pembeli yang ingin mendiami aset berkenaan dan bukan bertujuan untuk pelaburan.

“Jika dilihat kepada harga jualan kediaman strata lebih tinggi kedudukan kediaman itu jika ia dijual pada harga lebih mahal memandangkan ciri pertama pemandangan dan kedua ialah perkhidmatan lif yang ditawarkan menyumbang kepada peningkatan harga produk.

“Namun, trend pembelian produk hartanah disebabkan pemandangan bangunan ikonik seperti di KLCC yang dahulunya orang berebut untuk mendapatkan pemandangan ini dari tingkap rumah telah beralih kepada pemandangan hijau yang banyak dipromosikan oleh pemaju pada hari ini,” katanya kepada Bisnes Metro,

Tuanbri berkata, daripada segi pelaburan, pemandangan bukan menjadi elemen utama bagi pelabur hartanah, tetapi mereka lebih memilih pembangunan kemudahan lain yang boleh meningkatkan harga jualan atau sewaan pada masa depan seperti projek kemudahan awam.

Katanya, pihaknya melihat orang ramai pada hari ini sudah beralih kepada elemen gaya hidup yang dimasukkan ke dalam faktor pembelian sesuatu produk kediaman.

“Malah, kedudukan kediaman yang lebih tinggi juga dapat melindungi pembeli daripada segi privasi dan keselamatan kerana apabila kedudukan rumah lebih rendah penghuni dari blok sebelah yang lebih tinggi boleh melihat kita dari atas.

“Bagaimanapun, perkara kediaman lebih tinggi yang lebih mahal hanya berlaku kepada produk strata melebihi lima tingkat kerana bagi kediaman strata hanya lima tingkat dan ke bawah biasanya lebih murah memandangkan tiada perkhidmatan lif serta lebih terdedah kepada kurangnya ciri keselamatan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga perlu mementingkan perancangan lokasi pembelian sesuatu produk strata untuk jangka masa panjang sekiranya menjadikan pemandangan sebagai salah satu faktor pembelian itu dibuat.

“Ini kerana kadang-kala pihak pemaju menawarkan kediaman yang mempunyai pemandangan indah kepada pembeli tetapi kita tidak peka kepada perancangan di kawasan itu pada masa depan yang mana berkemungkinan terdapat bangunan lebih tinggi didirikan oleh pemaju lain serta menghalang pemandangan sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:46 AM