Pengunjung 'Free Market Kembali Ke Sekolah' memilih pakaian seragam dan juga barangan lain yang diperoleh percuma di Surau As Syakirin Precint 14, Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Pengunjung 'Free Market Kembali Ke Sekolah' memilih pakaian seragam dan juga barangan lain yang diperoleh percuma di Surau As Syakirin Precint 14, Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kira-kira 500 barangan sekolah baru dan terpakai disumbangkan kepada orang ramai menerusi program Free Market di Masjid As-Syakirin, Presint 14, di sini, hari ini.

Naib Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Putrajaya Presint 14 (1), Nor Aisyah Ariffin, 45, berkata, program yang dijalankan bermula dari 10 pagi hingga 1 petang.

“Program ini adalah satu usaha untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan terutama di sekitar Putrajaya mendapatkan kelengakapan sekolah anak masing-masing seperti pakaian seragam sekolah, buku atau alat tulis.

"Bagaimanapun, hari ini mereka bukan sahaja dapat memiliki barangan keperluan sekolah secara percuma malah terdapat pelbagai jenis pakaian harian, aksesori dan perkakasan rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pemberian keperluan sekolah seperti alat tulis dan pakaian seragam sekolah yang bernilai RM800 itu disumbangkan oleh beberapa pihak termasuk Majlis Persatuan Penduduk Sub Zon H Presint 14.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 43, berkata, program yang dijalankan itu dapat membantu menjimatkan perbelanjaannya untuk membeli keperluan sekolah anaknya.

"Barangan keperluan sekolah yang disumbangkan di Free Market ini dapat mengurangkan bebanan ibu bapa terutama pembelian pakaian seragam sekolah baharu malah lebihan duit peruntukan perbelanjaan sekolah dapat disimpan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 1:39 PM