Zuhainy Zulkiffli

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan ibu bapa berjimat cermat dengan perbelanjaan ke atas keperluan sekolah terutama membabitkan harga pakaian seragam yang kian meningkat.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan ibu bapa cenderung memanjakan anak-anak dengan membeli pakaian seragam sekolah baharu apabila sekolah dibuka semula.

Katanya, melalui tinjauan CAP di kedai dan pasar raya sekitar Pulau Pinang mendapati harga pakaian seragam sekolah semakin meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.

Temubual bersama ibu bapa juga mendapati mereka berasa terbeban dengan kenaikan harga barangan terutama bagi ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai dan bersekolah.

"Pakaian seragam, beg, alat tulis dan kasut sudah mencecah RM200 tidak termasuk pakaian sukan, buku dan keperluan lain dan memandangkan pelajar perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pasang pakaian seragam, ia akan menjadi lusuh hingga hujung tahun.

"Andaikan peningkatan harga sebanyak 30 peratus, ibu bapa terpaksa membelanjakan tambahan RM45 bagi setiap anak berbanding tahun lepas, jumlah itu begitu besar kerana boleh mengurangkan belanjawan keluarga pada awal tahun," katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri.

Menurutnya Mohamed Idris lagi, ibu bapa tidak seharusnya mempunyai tanggapan bahawa semua keperluan mestilah baharu dan dibeli bagi permulaan sesi persekolahan.

Tambahan pula, bukanlah pakaian seragam sekolah baharu akan menentukan kejayaan akademik pelajar dan nilai itulah yang perlu ditanam di dalam minda ibu bapa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 7:15 PM