PASUKAN SAR mengusung mayat mangsa feri terbalik di Jeti Pasar Sebauh sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu. FOTO Erika George
PASUKAN SAR mengusung mayat mangsa feri terbalik di Jeti Pasar Sebauh sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


MAYAT mangsa feri karam di Sungai Pandan, Sebauh, di Bintulu, pada Ahad lalu, ditemui terperangkap antara tiga lori membawa muatan sawit yang tenggelam bersama feri berkenaan, jam 3 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, operasi selaman dimulakan jam 12 tengah hari di lokasi feri berkenaan terbalik dan tenggelam.

"Mayat mangsa dikesan terperangkap antara kedudukan tiga lori berkenaan di dasar sungai. Bagaimanapun, operasi membawa keluar mayat terpaksa dihentikan sementara kerana hujan, selain arus deras sungai.

"Operasi bersambung semula kira-kira jam 2 petang sebelum mayat berjaya dibawa keluar jam 3.15 petang dan dibawa ke Jeti Pasar Sebauh, seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohamad berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan proses pengecaman.

Mangsa, Dzulhiqmi Delphen, 23, yang berasal dari Lahad Datu Sabah, hilang dipercayai dihanyutkan arus deras selepas feri pengangkut barang jenis 'landing craft' terbalik lalu karam di sungai berkenaan kira-kira jam 12.30 malam, Ahad lalu.

Pada kejadian itu, tujuh penumpang lain berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan, ketika kejadian, feri berkenaan turut membawa empat lori yang sarat dengan muatan sawit.

Berita berkaitan

Buaya ancam SAR mangsa feri karam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 7:17 PM