Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Lelaki berusia 35 tahun parah selepas motosikal ditunggang terbabas dan terjunam ke dalam longkang sedalam kira-kira tujuh meter.

Kejadian berlaku di Bandar Utama, di sini, kira-kira 3 petang hari ini ketika mangsa yang dikenali Chan Cheng Seong dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Besar Bandar Lama.

Orang ramai termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada di tempat kejadian sukar membantu mangsa disebabkan keadaan longkang yang dalam.

Berikutan itu, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke tempat kejadian dan mengeluarkan mangsa dalam tempoh 15 minit.

Saksi kejadian, Helmi Ghani, 41, berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal di belakang motosikal mangsa.

"Jalan di situ agak berselekoh dan menuruni bukit. Mangsa gagal kawal motosikalnya dan terus menjunam ke dalam longkang itu.

"Saya dan orang awam lain sukar membantunya kerana longkang itu dalam dan segera menghubungi bomba," katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 5:35 PM