JEFRY di Pos Bihai diusung menaiki helikopter Unit Udara JBPM dikejar ke HGM hari ini kerana sakit kepala kritikal. FOTO ihsan JBPM
JEFRY di Pos Bihai diusung menaiki helikopter Unit Udara JBPM dikejar ke HGM hari ini kerana sakit kepala kritikal. FOTO ihsan JBPM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang remaja Orang Asli yang mengalami sakit kepala kritikal ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini, hari ini.

Difahamkan, Jefry Jemi, 19, yang tinggal di Pos Bihai, di sini, mengalami sakit kepala kritikal dan muntah sejak seminggu lalu sehingga tidak mampu berjalan.

Remaja itu dikejar ke hospital dengan penerbangan ihsan pada jam 1.08 petang, selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak, pada jam 9 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan ihsan terpaksa dilakukan selepas jalan balak menghubungkan Bandar Gua Musang dengan Pos Bihai rosak teruk dan sukar dilalui kenderaan.

"Penerbangan berlepas dari Subang, Selangor pada jam 11.41 pagi menggunakan Agusta AW 139 dan mendarat di Pos Bihai jam 12.40 tengah hari.

"Sebaik mengambil pesakit terbabit, penerbangan mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 1.08 petang, dan mangsa terus dibawa ke HGM menggunakan jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, Jefry yang ditemani sepupunya, Billy Bob Seman, 18 dalam keadaan stabil.

Katanya, penerbangan itu diketuai Juruterbang Penguasa Kanan Bomba I, Sofian Ahmed dan dibantu Penolong Juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zukhairee Zabidi.

"Ini adalah penerbangan ihsan ke 20 tahun ini membabitkan penyelamat pesakit kritikal Orang Asli pedalaman Gua Musang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 2:06 PM