Nantikan Harith dan Adibah pada AIM22. FOTO HM/KHAIRUL HELMY
Nantikan Harith dan Adibah pada AIM22. FOTO HM/KHAIRUL HELMY
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Penghibur terkenal Harith Iskander dan Adibah Noor menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung pada 18 Disember ini.

Walaupun pertama kali digandingkan sebagai hos, masing-masing teruja dan tidak sabar menanti malam itu.

Harith ketika ditemui berkata, pengalaman berkongsi pentas komedi dengan Adibah sebelum ini memudahkan kerjasama mereka malah dia yakin mereka serasi.

"Saya tidak ada masalah berkerjasama dengan Adibah malah rasa teruja mahu menghiburkan penonton," katanya.

Sementara itu, Adibah pula gembira kerana impian mengacara bersama Harith akhirnya tercapai.

"Selama ini kami sering bertemu dalam program lawak. Apabila diberi peluang mengacara dalam anugerah berprestij seperti ini pastinya ia bagaikan impian menjadi kenyataan kerana Harith saya anggap 'big brother'. Kami sudah lama kenal tidak hanya dalam bidang pengacaraan tetapi juga di luar waktu bekerja" katanya.

Kedua-dua mereka diumumkan sebagai pengacara AIM22 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim pada sidang media yang diadakan semalam.

Selain itu, penyanyi Aril Pilus serta pengacara Shamim Farid pula menjadi pengacara untuk acara Karpet Merah AIM22.

AIM22 kali ini menampilkan persembahan barisan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Hazama, Khalifah, SonaOne, Yuna, Sufian Suhaimi, Projector Band, Ameng dan Akim & The Majistret.

Sementara itu, penyampai anugerah pula bakal menyaksikan kemunculan Aaron Aziz, Hafiz Suip, Amyra Rosli, Datuk M Nasir, Estranged dan Forteen.

AIM22 akan bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula jam 9 malam dan dipancarkan terus di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 10:04 PM