MAHDZIR (kanan) beramah mesra bersama graduan di Majlis Konvokesyen. FOTO Shahrul Hafiz Zam
MAHDZIR (kanan) beramah mesra bersama graduan di Majlis Konvokesyen. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tujuh puluh lapan anak muda Padang Terap menjadi graduan sulung Program Puncak anjuran Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) yang menyasarkan usaha melengkapkan mereka sebagai tenaga kerja dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

Mereka yang menamatkan kursus tiga bulan di bawah program itu, menerima sijil masing-masing, hari ini yang disampaikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang juga Pengerusi PEMBINA.

Mahdzir berkata, tiga kursus dianjurkan melalui Program Puncak iaitu Kulinari yang disediakan Kolej Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ), diikuti Kursus Hospitaliti di Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) dan Kursus Penerbangan bersama Malaysia Aviation Training Academy (MATA).

Katanya, motif utama program ini adalah untuk menyediakan tenaga kerja dan dimaklumkan ramai dalam kalangan graduan ini sudah pun diterima bekerja dan ia suatu pencapaian membanggakan.

"Saya kira 78 anak muda dari Padang Terap ini adalah kumpulan pertama program ini dan melihatkan kepada hasil positif ini, kita akan teruskannya dengan kawasan Parlimen lain pada masa akan datang dengan jenis kursus juga akan diperluas mengikut keperluan.

"Program Puncak ini disediakan melalui saluran Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kita sedang meneliti bidang berasaskan minyak dan gas (O&G) serta teknologi hijau untuk diserap ke dalam program sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen PEMBINA di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 3:58 PM