R Vidyanathan (tengah) diiringi Izhar Hifnei (dua kiri), bergambar bersama Sarman (kiri), Ja'apar (dua kanan) dan  Abdul Rashid (kanan) ketika Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian. FOTO Hairul Anuar Rahim
R Vidyanathan (tengah) diiringi Izhar Hifnei (dua kiri), bergambar bersama Sarman (kiri), Ja'apar (dua kanan) dan Abdul Rashid (kanan) ketika Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


ENAM institusi latihan teknikal dan kolej pendidikan menerima Dana Pembiayaan Kompetitif diagihkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berjumlah RM2.8 juta.

Timbalan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnie Ismail berkata, kerjasama itu untuk mengendalikan program latihan tenaga kerja bagi keperluan industri hiliran minyak dan gas sedang dibangunkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang.

Katanya, program latihan untuk industri hiliran minyak itu memanfaatkan kira-kira 300 pelatih dalam bidang-bidang termasuk penyeliaan kesematan tapak kerja dan asas-asas penyeliaan keselamatan.

"Dana ini juga bagi mengendalikan latihan kesihatan dan alam sekitar, pemasang perancah tahap 2 dan 3, jentera perindustrian dan pengendalian jentera, pemeriksaan cat dan karat dan teknologi kalibrasi dan instrumen.

"Kami berbesar hati kerana JPDC dipilih sebagai agensi pembangunan industri yang pertama untuk menerima pembiayaan program latihan berjumlah RM2.8 juta di bawah Program Pembiayaan Kompetitif," katanya.

Terdahulu majlis pertukaran memorandum perjanjian antara JPDC dengan enam institusi latihan teknikal disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan.

Perjanjian itu turut dilakukan bersama Pengarah Urusan JSDC, Ja'apar Samat; Pengarah ILPPG, Sarman Rawan dan Ketua Pegawai Eksekutig KPYPJ, Abdul Rashid A Rahman.

Ia menyaksikan pertukaran perjanjian dengan Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILPPG), Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Johor Skills Development Centre (JSDC).

Turut menyertai program itu tiga institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) iaitu Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar (IKBNBP), German-Malaysia Institute (GMI) dan Kolej Komuniti Bandar Penawar.

Beliau berkata, PTPK yang juga badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia itu dilihat sebagai ruang untuk merancang, menyelaras dan memudahcara.

"Ia juga bagi mempromosi pembangunan PIPC sebagai hab industri hiliran minyak dan gas bertaraf antarabangsa.

"Satu daripada enam mandat diamanahkan kepada JPDC adalah untuk membuat perancangan dan tindakan demi memastikan tersedianya tenaga kerja yang boleh diambil bekerja oleh industri, demi memacu dan melestarikan pertumbuhan PIPC," katanya.

Mengulas lanjut mengenai projek di Pengerang itu, Hifnie berkata, kerancakan Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Petrokimia (RAPID) yang dijangka beropersi tahun depan memerlukan kepakaran tenaga kerja mahir yang tinggi.

Sementara itu Vidyananthan menyambut baik usaha JPDC menyediakan program latihan dan pembangunan kemahiran untuk tenaga.

Katanya, perlu bagi Johor menyediakan peluang pekerjaan ditawarkan dalam bidang minyak dan gas mengambilkira keperluan menyediakan tenaga mahir diperlukan industri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 1:07 PM