SEORANG anggota polis berkawal di sebuah rumah di Bakasi semalam, lokasi seorang wanita ditahan bersama bom yang dibuat daripada periuk tekanan tinggi. - EPA
SEORANG anggota polis berkawal di sebuah rumah di Bakasi semalam, lokasi seorang wanita ditahan bersama bom yang dibuat daripada periuk tekanan tinggi. - EPA
AP

Jakarta: Polis percaya rancangan serangan bom di Istana Presiden yang berjaya dipatahkan pihak berkuasa kelmarin bakal dilaksanakan oleh pengebom berani mati wanita.

Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan terhadap aktiviti kumpulan militan yang merekrut wanita untuk peranan lebih aktif termasuk merancang dan melakukan serangan.

“Perkembangan ini menandakan satu episod baru dalam aktiviti keganasan di Indonesia, dengan wanita kini menjadi pengebom berani mati,” kata penganalisis keganasan, Ridwan Habib ketika diwawancara sebuah stesen televisyen Indonesia.

Ketua Polis Bekasi, Umar Surya berkata, polis antipengganas mengekori sebuah kereta yang dinaiki tiga militan dari Solo ke Jakarta.

Katanya, dua lelaki ditahan selepas menghantar seorang wanita di sebuah rumah tumpangan di Jakarta.

Wanita berusia 27 tahun yang dipercayai bakal melakukan serangan bom berani mati ditahan di dalam rumah dengan sebuah bom yang diperbuat daripada periuk tekanan tinggi.

Suspek keempat ditahan di Solo.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono berkata, bom itu boleh menyebabkan kemusnahan besar dalam jarak yang luas.

Penduduk dalam lingkungan 300 meter dari rumah tumpangan berkenaan diarahkan berpindah sementara polis mematikan bom itu.

Polis percaya wanita itu merancang meletupkan diri ketika upacara pertukaran pengawal presiden semalam, satu tarikan pelancong di Jakarta.

“Mereka memilih sasaran itu bagi menyebabkan kehilangan nyawa yang besar kerana ramai keluarga berkunjung ke Monumen Nasional dan Istana Presiden untuk melihat upacara berkenaan,” jelas Ridwan.

Menurut polis, kumpulan itu adalah sebahagian rangkaian pengganas yang ditahan selepas makmal membuat bom mereka diserbu polis bulan lalu.

Rangkaian berkenaan yang turut terbabit dalam serangan di Jakarta Januari lalu, menerima arahan daripada ketua militan, Bahrun Naim yang kini bersama kumpulan Daish di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:04 AM