Jakarta: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang anggota Daish kerana pembabitannya dalam serangan bom berani mati dan tembakan di Jakarta, awal tahun ini.

Dodi Suridi, 23, ditangkap pada 15 Januari lalu, sehari selepas serangan yang menyebabkan lapan orang maut termasuk empat militan yang didakwa polis mempunyai kaitan dengan Daish.

Hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Barat, Achmad Fauzi berkata, Dodi didapati bersalah melanggar undang-undang antipengganas dengan membekalkan bahan membuat bom yang digunakan dalam serangan itu.

Kira-kira 40 militan ditangkap susulan serangan berkenaan yang bermula dengan serangan berani mati di dalam sebuah kafe Starbucks.

Menurut Achmad, Dodi tahu serangan berani mati akan dilancarkan tetapi tidak tahu bila dan di mana.

Dia juga terbabit dalam beberapa mesyuarat bagi mencari pengebom berani mati.

Ketika di mahkamah Dodi sedikit pun tidak menunjukkan perasaan kesal dan ceria ketika gambarnya dirakam media.

Dodi berkata, dia tidak akan merayu dan menganggap hukuman itu sebagai risiko yang perlu dihadapinya sebagai militan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:14 AM