HIGUAIN (kanan) memeluk rakan sepasukan selepas jaring gol.
HIGUAIN (kanan) memeluk rakan sepasukan selepas jaring gol.
AFP

Turin, Itali: Juventus tidak kisah siapa yang menjaringkan gol asalkan mereka menang, tegas jurulatih Massimiliano Allegri selepas Gonzalo Higuain menamatkan kemarau gol lima minggu bagi membantu kemenangan 2-0 ke atas Dinamo Zagreb pada aksi Liga Juara-Juara.

Juventus, naib juara 2015, akan tampil pada majlis undian bagi pusingan kedua Isnin ini sebagai juara Kumpulan H selepas berakhir tiga mata di depan Sevilla.

Sedikit tuah diperlukan jika mereka mahu mengelakkan pertembungan dengan pasukan seperti Real Madrid, Bayern Munich atau mana-mana pasukan pilihan pertandingan itu, Februari ini.

Allegri pasti berharap Higuain, yang tidak meledak gol sejak 2 November lalu, akhirnya menemui sentuhan jaringan yang membantunya melakar rekod Serie A dengan 36 gol bersama Napoli musim lalu.

“Kami perlu menjaringkan gol malam ini... kadangkala berlaku penyerang tidak menyumbat gol bagi beberapa perlawanan.

“Mungkin dia terlalu biasa menjaringkan gol sebelum ini tapi di Juventus adalah penting kami menang, bukannya siapa yang menjaringkan gol.”

Ia pasti berita terbaik buat Higuain.

Selepas rekod perpindahannya ke Juve pada musim panas lalu dalam usaha “memenangi kejuaraan dan trofi”, Higuain berdepan lima bulan pertama penuh berliku di Turin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 10:54 AM