HIGUAIN (kiri) jaring gol kedua Juventus.
HIGUAIN (kiri) jaring gol kedua Juventus.
AFP

Monaco: Wira dua gol Gonzalo Higuain meminta rakan sepasukan Juventus supaya berpijak di bumi nyata selepas kemenangan menakjubkan 2-0 di AS Monaco awal pagi semalam menyebabkan mereka semakin menghampiri final Liga Juara-Juara.

Penyerang Argentina, Higuain menerima umpanan Dani Alves sebelum membuka tirai jaringan pada minit ke-29 dan kemudian menampan masuk hantaran lintang Alves sebelum sejam ketika Juve meraih apa yang dilihat sebagai kemenangan penting pada separuh akhir pertama di Stade Louis II.

Juara Itali itu mengintai final di Cardiff pada 3 Jun depan, dengan pertembungan menentang juara bertahan Real Madrid, bekas pasukan Higuain, satu kemungkinan.

“Impian kami untuk ke Cardiff bermula sejak Ogos lalu dan kini kami hanya selangkah lagi,” kata Higuain.

Dia kini mengumpul 31 gol musim ini berikutan perpindahan bernilai 90 juta euro (RM426 juta) dari Napoli, membantu Juve menghampiri kemungkinan meraih tiga piala semusim.

Higuain, yang menamatkan kemarau gol dalam tujuh perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara berkata: “Kami belum menang apa-apa lagi, jadi kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa. Saya sering kali tenang. Saya tahu setiap orang yakin dengan keupayaan saya dan kerja keras selalu berbaloi akhirnya.”

Juventus menguasai segenap bahagian menentang Monaco yang memukau Eropah musim ini dengan corak serangan mereka. Selain Higuain, Juve turut berterima kasih dengan kecemerlangan penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon.

“Gigi membuktikan dia masih seorang penjaga gol hebat. Dia sering melakukannya dalam perlawanan besar dan Higuain menyumbat dua gol menarik. Tapi untuk meraih keputusan ini setiap orang perlu bekerja keras,” ujar jurulatih Juve, Massimiliano Allegri.

Juventus boleh melengkapkan rekod enam kejuaraan Serie A berturut-turut hujung minggu ini apabila mereka berdepan jiran setempat Torino manakala Lazio menanti pada final Piala Itali.

“Mereka lebih klinikal berbanding kami dengan dua atau tiga peluang mereka menyumbat gol dan kami gagal menyempurnakan satu pun peluang kami. Buffon juga melakukan beberapa tindakan penyelamat menakjubkan,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:54 AM