CHEN Hock (kanan) pada sidang media pelancaran aplikasi RHB Now Mobile Banking, semalam.
CHEN Hock (kanan) pada sidang media pelancaran aplikasi RHB Now Mobile Banking, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: RHB Banking Group (RHB) mengekalkan sasaran 30 peratus peningkatan jumlah pelanggannya bagi segmen perbankan premier menjelang akhir tahun ini yang didorong oleh pengenalan aplikasi mudah alih RHB Now Mobile Banking yang dipertingkatkan.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Perbankan Runcit Kumpulannya, U Chen Hock berkata, aplikasi berkenaan direka khusus bagi kemudahan pelanggan yang menggunakan fasiliti kad kredit dan debit RHB Premier.

“Sejak ia diperkenalkan pada Julai tahn ini, jumlah pelanggan RHB Premier ketika ini telah mencecah sehingga 34,000 pelanggan berbanding 30,000 pelanggan sebelum ini.

“Malah, dengan kelebihan hampir 68 peratus rakyat Malaysia yang menjadi pengguna perbankan digital secara aktif, kami yakin peningkatan yang ditawarkan dalam aplikasi ini dapat menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan RHB,” katanya pada sidang media pelancaran aplikasi RHB Now Mobile Banking di sini, semalam.

Chen Hock berkata, aplikasi yang dipertingkatkan itu mempunyai kelebihan ciri-ciri tambahan seperti penyelesaian kewangan, kemas kini pasaran, mesej serta tawaran pakej pilihan gaya hidup.

“Pelanggan kami tidak lagi perlu memuat turun dua aplikasi berbeza sebaliknya hanya menggunakan satu aplikasi sahaja yang mempunyai banyak pilihan bagi kegunaan pelanggan,” katanya.

Sehingga Oktober 2016, aplikasi RHB Now Mobile Banking mencatatkan kira-kira 120,000 muat turun baru dengan lebih 360,000 muat turun oleh pelanggan sedia ada yang sudah mempertingkatkan aplikasi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 7:23 AM