KHAIRUSSALEH (tiga dari kiri) majlis pelancaran produk, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
KHAIRUSSALEH (tiga dari kiri) majlis pelancaran produk, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB Bank) menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pelanggan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menggunakan platform terbaharunya, RHB SME e-Solutions menjelang 2020.

Platform berkenaan menawarkan usahawan daripada segmen PKS untuk melaksanakan operasi perniagaan dengan lebih lancar, cekap dan mudah yang menampilkan perisian perakaunan berasaskan awan hanya dalam satu sistem.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, setakat ini bank berkenaan mempunyai 90,000 PKS dalam rangkaian ekosistem PKS miliknya dan berharap dengan pelancaran platform RHB SME e-Solutions itu, ia dapat menarik minat pelanggan PKS sedia ada untuk menggunakannya.

Beliau berkata, sistem perusahaan sering kali dianggap terlalu kompleks dan menggunakan kos yang tinggi, namun dengan inovasi daripada RHB Bank, pihaknya telah membangunkan ekosistem perbankan yang lebih bersepadu kepada pelanggan.

“Platform ini memudahkan urusan aliran tunai dan pengurusan kewangan bagi pelanggan PKS yang menggunakannya.

“Malah, RHB Bank juga adalah bank pertama yang menggunakan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bagi mengintegrasikan RHB Reflex dengan sistem perakaunan kewangan perniagaan PKS,” katanya pada majlis pelancaran produk itu, semalam.

Platform RHB SME e-Solutions itu juga adalah kerjasama dengan Financio yang turut menawarkan ciri seperti semakan baki akaun masa nyata, memudahkan pembayaran terus kepada PKS dan banyak lagi.

Khairussaleh berkata, dalam tempoh 12 bulan akan datang, RHB Bank akan memperkenalkan lebih banyak ciri yang lebih mesra perniagaan di platform RHB SME e-Solutions.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 7:33 AM