Nazri  (kanan) bersama Goon  pada Sidang Media RHB Premier Signature Experiences.
Nazri (kanan) bersama Goon pada Sidang Media RHB Premier Signature Experiences.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: RHB Banking Group (RHB Bank) berhasrat meningkatkan langganan segmen RHB Premier kepada 60,000 pelanggan menjelang 2020 didorong pelbagai inisiatif dan tawaran disediakan kumpulan perbankan berkenaan.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit RHB Bank Nazri Othman berkata, sejak pelancaran semula pada Julai tahun lalu, segmen pelanggan asas RHB Premier menunjukkan pertumbuhan 31 peratus sehingga Disember 2016.

Beliau berkata, sebelum dilancarkan, asas pelanggan segmen berkenaan mencatatkan 24,000 langganan dan berharap dengan inisiatif dilancarkan seperti RHB Premier Signature Experiences mampu merealisasikan sasaran ditetapkan.

“Kumpulan berharap dapat meningkatkan tambahan langganan baru sehingga 35 peratus bagi segmen RHB Premier pada penghujung tahun ini dan pada masa sama menyasarkan untuk mencapai 26 peratus pertumbuhan pada 2020 daripada sumbangan perolehan segmen pelanggan mewah ini.

“Malah, kumpulan melihat segmen pelanggan mewah ini mempunyai potensi memberangsangkan di mana dua peratus daripada empat juta pelanggan runcit kami daripada segmen RHB Premier,” katanya pada majlis bersama media RHB Premier Signature Experiences di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Segmen Mewah Perbankan Runcit RHB Bank Calvin Goon.

Pada majlis itu, kumpulan perbankan itu memperkenalkan program ganjaran RHB Premier Signature Experiences bertaraf lima bintang yang direka eksklusif dengan tawaran gaya hidup dan kembara serba mewah.

RHB Premier direka khusus bagi memberi ganjaran kepada pelanggan segmen mewah di RHB Bank dan setakat April lalu, kumpulan itu mempunyai 18 pusat sehenti untuk RHB Premier dan menjangka membuka lima lagi hujung tahun ini.

Beliau berkata, bagi menyertai program ganjaran itu, pelanggan baru RHB perlu melabur minimum sebanyak RM200,000 dengan produk pelaburan terpilih RHB Premier dan mengekalkan minimum RM10,000 dalam akaun simpanan atau semasa RHB.

“Antara produk pelaburan terpilih RHB Premier termasuk pelaburan berstruktur, unit amanah, bon runcit dan Amanah Saham Nasional (ASN).

“Melalui RHB Premier Signature Experiences, pelanggan berpeluang menikmati pelancongan mewah dan penerbangan kelas pertama ke Bali, Indonesia dengan kelebihan pelbagai aktiviti serta kemudahan lima bintang yang disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 3:43 AM