Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Kumpulan Perbankan Runcit RHB menerusi RHB Bank Berhad berhasrat menjadi penyumbang utama kepada Kumpulan Perbankan itu melalui pelaksanaan lima strategi utama dengan memacu pertumbuhan dan keuntungan segmen perniagaan terbabit pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Perbankan Runcit Kumpulannya, U Chen Hock berkata, pada ketika ini kumpulan itu menyumbang sebanyak 40 peratus daripada pendapatan keseluruhan Kumpulan RHB dan pelaksanaan strategi itu dijangka bukan sahaja meningkatkan peratusan sumbangan kepada Kumpulan, malah kepada pasaran perbankan di negara ini.

“Lima strategi utama yang bakal dilaksanakan ialah meningkatkan lebih ramai jumlah pelanggan mewah, mengurangkan kos untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran utama, menyeragamkan rangkaian pengeluaran merentasi kumpulan, membawa pengalaman berbeza kepada pelanggan dan membina keupayaan gangguan digital,” katanya, di sini.

Beliau berkata, pada masa ini segmen pelanggan mewah masih kurang diterokai di mana ia hanya mewakili dua peratus daripada asas jumlah pelanggan keseluruhan iaitu seramai 3.9 peratus berbanding segmen ‘mass’ iaitu sebanyak 90 peratus.

Menurutnya, terdapat potensi besar bakal ditawarkan melalui segmen pelanggan mewah itu di mana ia dilihat boleh memiliki lebih banyak produk dan lebih menjana pendapatan daripada aspek pendapatan setiap pelanggan.

“Kami beraspirasi untuk meningkatkan jumlah asas pelanggan mewah kami kepada 85 peratus menjelang 2020 dan 10 peratus pada tahun ini serta ia bakal dicapai melalui pengenalan perkhidmatan perbankan premier RHB iaitu RHB Premier yang menawarkan akses kepada pasukan pengurus hubungan bertaulihan dan pakar pelaburan untuk membantu mengembangkan kekayaan pelanggan mewah,” katanya.

Kumpulan Perbankan Runcit RHB mewujudkan tiga segmen pelanggan iaitu mewah, mass affluent dan mass untuk menganalisis tingkah laku, keperluan perbankan serta kuasa perbelanjaan dalam usaha menawarkan pakej perkhidmatan dan produk lebih baik.

Untuk segmen pelanggan mass, Chen Hock berkata, Kumpulan itu bakal menyepadukan teknologi perbankan pantas 10 minit ‘EASY’ membabitkan semua cawangan perkhidmatan penuhnya bagi meningkatkan produktiviti jualan Kumpulan itu pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:06 AM